Khamis, 10 Oktober 2019 | 11:40am
Pegawai Pemerintah Batalion 7 Pasukan Gerakan Am (PGA7), Superintenden Azhari Nusi. - NSTP/Fathil Asri
Laluan tikus di sepanjang sempadan Kelantan-Thailand, penyeludup sentiasa mengambil kesempatan melakukan kegiatan itu dengan bantuan tonto yang diupah. - NSTP/Sharifah Mahsinah Abdullah
penyeludup migran ini biasanya akan menggunakan sempadan yang sukar laluannya bagi membawa masuk PATI bagi mengelak dikesan. - NSTP/Sharifah Mahsinah Abdullah

Sindiket seludup migran guna laluan tikus

PASIR MAS: Upah lumayan sehingga RM3,000 bagi seorang pendatang asing tanpa izin (PATI) menyebabkan penyeludup migran sanggup mengambil risiko berhadapan dengan tindakan pihak berkuasa.

Dengan menggunakan beratus-ratus laluan tikus di sepanjang sempadan Kelantan-Thailand, penyeludup sentiasa mengambil kesempatan melakukan kegiatan itu dengan bantuan tonto yang diupah.

Pegawai Pemerintah Batalion 7 Pasukan Gerakan Am (PGA7), Superintenden Azhari Nusi, berkata penyeludup migran ini biasanya akan menggunakan sempadan yang sukar laluannya bagi membawa masuk PATI bagi mengelak dikesan.

Beliau berkata, biasanya PATI akan dibawa menyeberang Sungai Golok menggunakan bot menerusi laluan tikus dan terus memasuki kenderaan yang sudah siap menunggu.

“Mana-mana PATI yang masuk ke sini akan ‘disumbat’ ke dalam kenderaan. Jika jumlahnya, sedikit mereka biasanya hanya menggunakan kereta. Sekiranya ramai, mereka akan menggunakan kenderaan pelbagai guna (MPV).

“Kes terbaharu yang berjaya ditahan petang Selasa lalu, sebuah MPV yang memuatkan seramai 23 PATI warga Myanmar dekat pangkalan haram Kertas, Rantau Panjang,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Azhari berkata, soal siasat yang dijalankan mendapati PATI berkenaan membayar RM3,000 setiap seorang kepada tekong darat untuk dihantar ke Ipoh.

Jelasnya, melihat kepada jumlah PATI yang disumbat begitu padat dan terpaksa berhimpit di dalam kenderaan itu, jelas menunjukkan penyeludup begitu tamak dan mementingkan keuntungan semata-mata.

Katanya, penyeludup migran ini juga turut menggunakan kenderaan ‘sakit’ yang diubah suai untuk membawa ramai PATI dan sekiranya terbabit dalam kemalangan atau terserempak dengan pihak berkuasa, kenderaan itu akan ditinggalkan begitu sahaja.

“Berdasarkan pemantauan dan risikan yang dijalankan, banyak pangkalan haram dan laluan tikus di tebing Sungai Golok agak terlindung daripada pemandangan.

“Kita juga tidak menafikan ada penduduk tempatan seolah-olah bersubahat dengan sindiket penyeludupan migran ini, termasuk membenarkan kawasan tanah milik mereka dijadikan laluan membawa PATI,” katanya.

Menurut Azhari, pihaknya tahu sindiket penyeludupan ini sentiasa menukar taktik dalam menjalankan kegiatan mereka, namun pasukannya akan memperhebat lagi operasi bagi membanteras kegiatan itu.

“Banyak kawasan sempadan di sini seperti Panglima Bayu, Lubok Setol dan Jeram Perdah yang dipenuhi semak samun dan hutan sehingga memudahkan penyeludupan berlaku apatah lagi dengan bantuan daripada tonto.

“Sejak mengambil alih tugas Op Wawasan pada 15 September lalu, PGA7 sebenarnya sudah berjaya menahan 33 orang PATI, termasuk empat wanita. Mereka ini warga Myanmar yang akan dihantar ke lokasi tertentu di negara ini untuk bekerja, sama ada dalam sektor pertanian atau pembinaan,” katanya.

Jelasnya, bagi mengatasi kegiatan itu beberapa cawangan PGA7 di Kuala Jambu, Rantau Panjang dan Jeram Perdah akan mempertingkat operasi serta memperketat kawalan di pangkalan haram sepanjang sempadan dengan Thailand. – BERNAMA

Berita Harian X