Khamis, 10 Oktober 2019 | 3:24pm
Chia Weng Chuen didenda RM40,000 oleh Mahkamah Sesyen, Ipoh selepas mengaku bersalah atas pertuduhan gagal menyediakan prosedur kerja selamat sehingga mengakibatkan kematian pekerja. - NSTP/Abdullah Yusof

Prosedur kerja tak selamat, 2 syarikat didenda RM40,000

IPOH: Dua syarikat masing-masing didenda RM40,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, selepas mengaku salah atas dakwaan gagal menyediakan prosedur kerja selamat sehingga mengakibatkan kematian pekerja.

Syarikat Telaga Setia Sdn Bhd (Telaga Setia) diwakili Pengarah Urusannya, Chia Weng Chuen,50, manakala Noble Dinstinction (M) Sdn Bhd (Noble Dinstinction) diwakili Eksekutif Pentadbiran dan Pemegang Saham, Cheong Kar Lai, 33, membuat pengakuan itu sebaik pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Norashima Khalid.

Mengikut pertuduhan, Telaga Setia Sdn Bhd didakwa sebagai majikan gagal untuk memastikan keselamatan, kesihatan dan kebajikan semasa bekerja semua pekerja termasuk warga Bangladesh, Rabin Khadaker, 28.

Syarikat itu gagal mengadakan sistem kerja selamat bagi kerja pemasangan sistem solar PV di bumbung Kilang Choo Bee Metal Industries Sdn Bhd, Kawasan Perusahaan Pengkalan 1, Lahat, hingga mengakibatkan kemalangan.

Kesalahan itu didakwa dilakukan oleh syarikat yang beralamat di Jalan Pinggiran Putra, Taman Pinggiran Putra, Seri Kembangan, Selangor itu, pada jam 8.50 pagi, 12 Julai lalu.

Noble Dinstinction pula didakwa gagal memastikan keselamatan, kesihatan dan kebajikan ketika bekerja terutama Loi Thiam Fatt, 56, dengan gagal mengadakan prosedur kerja selamat untuk kerja membersih, memecah dan memuat batu kuari hingga mengakibatkan kemalangan maut.


Cheong Kar Lai didenda RM40,000 oleh Mahkamah Sesyen, Ipoh selepas mengaku bersalah atas pertuduhan gagal menyediakan prosedur kerja selamat sehingga mengakibatkan kematian pekerja. - NSTP/Abdullah Yusof

Kesalahan itu didakwa dilakukan kira-kira jam 7.20 pagi, 1 Julai lalu, di PT21297, PT19541 dan PT19542, Mukim Sungai Raya, Kampung Kepayang, di sini.

Kedua-dua syarikat didakwa mengikut Seksyen 15(1) Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 yang membawa hukuman denda sehingga RM50,000 atau penjara maksimum dua tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dilakukan oleh Pegawai Pendakwa Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP), Farah Azita Abdul Rashid manakala kedua-dua syarikat tidak diwakili peguam.

Norashima menjatuhkan hukuman denda RM40,000 masing-masing bagi kedua-dua syarikat atau enam bulan penjara sekiranya gagal membayar denda.

Kedua-dua syarikat membayar denda berkenaan.

Berita Harian X