Khamis, 10 Oktober 2019 | 3:29pm
Dadah jenis syabu dan wang tunai yang dirampas dalam serbuan di Kampung Bahagia Jaya Teku, Sibu. - NSTP/Ihsan PDRM

Suri rumah tokan dadah dicekup

SIBU: Seorang suri rumah ditahan bersama 5.25 gram syabu yang dianggarkan bernilai RM790 dalam serbuan di Kampung Bahagia Jaya Teku, di sini, Selasa lalu.

Suspek berusia 36 tahun itu ditahan sepasukan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sibu dalam serbuan di rumahnya pada jam 2 petang.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Sarawak, Superintendan Hasnir Abdul Hamid, berkata serbuan dilakukan hasil maklumat risikan dan aduan awam.

“Ketika ditahan, suspek sedang berada dalam sebuah bilik dan dadah itu ditemui dalam satu beg yang diletakkan di atas tilam.

“Hasil pemeriksaan lanjut menemui satu bekas besi dalam beg berkenaan, mengandungi tiga paket plastik berwarna merah serta tiga paket plastik lutsinar kecil pelbagai saiz berisi ketulan kristal disyaki syabu,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Hasnir berkata, pihaknya turut menemui dan merampas satu plastik lutsinar berisi paket plastik kosong berwarna merah yang disyaki digunakan untuk membungkus dadah, alat penimbang digital dan wang tunai berjumlah RM267 dipercayai hasil jualan dadah.

“Suspek kini direman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

Berita Harian X