Khamis, 10 Oktober 2019 | 5:13pm

Kena cekup, cabul kanak-kanak 8 tahun

KOTA KINABALU: Seorang pekerja pembersihan sebuah hotel bajet di Kampung Air, di sini ditahan polis semalam selepas disyaki mencabul seorang kanak-kanak perempuan berusia lapan tahun.

Lelaki berusia 30 tahun itu ditahan sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu kira-kira jam 6 petang susulan laporan polis dibuat terhadapnya.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Habibi Majinji, berkata hasil siasatan mendapati kejadian berlaku di bilik pekerja di hotel berkenaan pagi kelmarin.

Katanya, ketika kejadian, mangsa difahamkan sedang berehat dalam bilik pekerja bersama adik lelaki dan sepupunya, masing-masing berusia tiga dan lima tahun, sementara menunggu ibunya bekerja.

“Mangsa memberitahu suspek menjilat telinganya ketika sedang baring sebelum memasukkan tangannya ke dalam seluar kanak-kanak perempuan.

“Bagaimanapun, kejadian itu hanya diceritakan kepada ibunya ketika mereka berada di rumah pada sebelah malam,” katanya ketika dihubungi, di sini hari ini.

Habibi berkata, selepas mangsa menceritakan perbuatan suspek terbabit, ibu mangsa yang berusia 40 tahun segera membawanya membuat laporan polis.

“Susulan itu, satu laporan polis dibuat pada jam 8.16 malam dan bertindak atas laporan itu, sepasukan polis menahan suspek di jam 6.05 petang semalam,” katanya.

“Suspek berusia 30 tahun ditahan untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017,” katanya.

Berita Harian X