Khamis, 10 Oktober 2019 | 5:34pm

Peguam Negara sudah serah permohonan gantung perbicaraan komital

SHAH ALAM: Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas sudah menyerahkan afidavit balasan dalam permohonannya untuk menggantung prosiding perbicaraan komital (menghina mahkamah) yang difailkan bapa anggota bomba,

Mohd Kassim Abdul Hamid berhubung inkuiri kematian Muhammad Adib.

Afidavit balasan itu dilakukan menerusi serahan ke pejabat Tetuan Mohd Zubir Embong & Associate, Selasa lalu.

Peguam Mohd Haniff Katri Abdulla yang mewakili bapa Muhammad Adib berkata, pihaknya kini dalam proses mengkaji afidavit yang diserahkan oleh pihak Peguam Negara itu dan akan memfailkan afidavit semula jika ada keperluan.

Beliau yang dihubungi BH, berkata, pihaknya dan Peguam Negara akan memberikan hujahan masing-masing di mahkamah pada 21 Oktober ini.

Isnin lalu, Mohd Haniff berkata, Tommy masih belum membuat keputusan sama ada memberikan keterangan di dalam kandang saksi ataupun melalui afidavit dalam perbicaraan komital dihadapinya.

Pada 16 Julai lalu, Mohd Kassim, 65, memfailkan permohonan perintah komital kepada Tommy kerana menghina mahkamah berkaitan proses inkuiri kematian anaknya.

Permohonan secara ex-parte (sebelah pihak) itu dibuat melalui firma guaman sama di Pejabat Pendaftar Mahkamah Koroner.

Berita Harian X