Khamis, 10 Oktober 2019 | 9:19pm
ANGGOTA polis forensik mengutip cebisan mayat bahagian manusia di kawasan perindustrian, Kampung Ladang, Krubong. NSTP/Rasul Azli Samad

Polis temui 8 keratan tubuh mayat

MELAKA: Polis menemui lapan bahagian tubuh badan mayat manusia tidak lengkap dipercayai milik lebih satu individu di kawasan semak, di jalan utama, Kampung Ladang, Krubong, berhampiran kawasan perindustrian, di sini, petang tadi.

Berdasarkan siasatan awal polis, bahagian tubuh badan itu ditemui oleh seorang pekerja memotong rumput ketika menjalankan kerja penyelenggaraan sekitar kawasan itu kira-kira jam 4 petang.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner, Afzanizar Ahmad berkata, susulan itu, Unit Forensik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) bersama pasukan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Melaka Tengah menjalankan siasatan di lokasi kejadian.

“Hasil siasatan awal, polis menemui lapan bahagian tubuh badan mayat tanpa pakaian, dipercayai mangsa pembunuhan.

“Kita percaya mayat dibunuh di tempat lain dan dianggarkan mangsa sudah meninggal dunia sejak lima hari,” katanya kepada pemberita, di lokasi kejadian, di sini, malam tadi.

Afzanizar berkata, mayat berkenaan belum dapat dikenal pasti identiti dan jantina, malah tidak dapat mengesahkan jumlah sebenar berdasarkan anggota badan tidak lengkap itu.

Semua maklumat sebenar akan diketahui selepas menerima laporan bedah siasat mayat di Jabatan Perubatan Forensik Hospital Melaka.

Setakat ini tiada barang lain ditemui dan tiada sebarang tangkapan dilakukan.

Kes itu disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Afzanizar berkata, sekiranya ada ahli keluarga atau kenalan yang hilang, diminta tampil ke balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.

Sementara itu, menurut sumber, pekerja memotong rumput berkenaan yang enggan namanya didedahkan, bersama dua lagi rakan sekerja dijadual memotong rumput di kawasan itu, hari ini, namun terhidu bau busuk apabila semakin menghampiri tempat kejadian.

“Bau itu semakin kuat dan pemotong rumput berkenaan tiba-tiba ternampak bahagian kaki manusia dikerumuni ulat di dalam semak.

“Dia terus menggigil dan meninggalkan tempat kejadian sehingga tidak mahu bekerja,” katanya dimaklumkan bau busuk itu sudah berlaku sejak Isnin lalu namun membiarkannya kerana tidak mengesyaki apa-apa.

Berita Harian X