Jumaat, 11 Oktober 2019 | 5:24pm
KEADAAN kedua-dua mangsa selepas terbabit dalam kemalangan maut di jalan Simpang Tiga Ladang Victoria, Padang Serai. NSTP/Ihsan Pembaca

Ibu genggam tangan anak hingga nafas terakhir

KULIM: Seorang ibu hanya mampu menggenggam tangan anaknya yang sedang nazak selepas motosikal ditunggang mereka terbabit dalam kemalangan di Jalan Simpang Tiga Ladang Victoria, Padang Serai di sini, hari ini.

Dalam kejadian pada jam 8.30 pagi itu, motosikal ditunggang Fatayah Che Lad, 46, bergesel dengan treler menyebabkan anaknya, Siti Aishah Mohamad Zuki, 16, tercampak dan meninggal dunia akibat kecederaan dalaman.

Kedua-dua beranak itu ketika kejadian dari arah Sidam Kanan menghala ke Padang Serai.

Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Mohd Yusuf Shaari, berkata apabila motosikal terbabit tiba di simpang berkenaan, sebuah treler cuba membelok ke kiri, manakala motosikal dinaiki dua beranak membelok ke kanan.

“Ketika membelok, berlaku geselan antara motosikal mangsa dan treler menyebabkan mereka terjatuh ke atas jalan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Akibat kemalangan itu, Siti Aishah maut, manakala Fatayah patah kaki kanan dan dirawat di Hospital Kulim.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sementara itu, bapa mangsa, Mohamad Zuki Abdul Hamid, 49, berkata ketika kejadian isterinya dalam perjalanan menghantar Siti Aishah ke kelas tuisyen di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Padang Serai.

Mohamad Zuki yang bekerja sebagai pemandu teksi, berkata Siti Aishah yang juga anak kedua daripada dua beradik rajin menghadiri kelas tuisyen dan bercita-cita mendapat keputusan cemerlang dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang sepatutnya diduduki tahun hadapan.

“Setiap cuti hujung minggu arwah akan menghadiri kelas tuisyen yang dianjurkan pihak sekolah.

“Dia memang rajin ke kelas tuisyen kerana mahu membuat persiapan awal bagi menduduki peperiksaan tahun depan,” katanya ketika ditemui di Hospital Kulim.

Biarpun sedih mengenangkan cita-cita anaknya yang tidak dicapai itu, beliau tetap tabah dan reda dengan apa yang berlaku.

Berita Harian X