Sabtu, 12 Oktober 2019 | 4:40pm

Guru ditahan lumba haram

GEORGETOWN: Seorang guru sekolah menengah berusia 25 tahun ditahan kerana menyertai lumba haram di Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu di sini awal pagi tadi.

Lelaki terbabit yang menunggang motosikal berkuasa tinggi jenis Yamaha YZF-R1 ditahan berhampiran medan selera simpang Kampung Jalan Kampung Jawa.

Turut ditahan dalam Ops Samseng Jalanan kira-kira jam 2 pagi itu ialah seorang tukang masak berusia 31 tahun yang menunggang Aprilia RSV4.

Operasi itu dilakukan Unit Risikan dan Operasi Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pulau Pinang.

Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintendan A Anbalagan, berkata guru terbabit yang mengajar di Daerah Timur Laut, berkata siasatan awal mendapati guru terbabit masih lagi dalam tempoh percubaan.

Bagaimanapun, ujian air kencing terhadap mereka negatif dadah.

“Mereka dibebaskan dengan jaminan polis dan kertas siasatan kes akan dirujuk kepada Pejabat Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Anbalagan berkata lebuh raya itu memang digunakan oleh mat rempit untuk berlumba haram terutama pada hujung minggu.

Laluan sering menjadi tumpuan dari lampu isyarat Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu menuju Jalan Kampung Jawa sehingga lampu isyarat medan selera Seagate dan berpatah balik.

Berita Harian X