Sabtu, 12 Oktober 2019 | 5:13pm
Komander Pasukan Polis Marin Wilayah Tiga, ACP Norzaid Muhammad Said (kiri) bersama pegawai menunjukkan rokok putih yang dirampas ketika sidang media di Markas Tektikal Pasukan Polis Marin Wilayah Tiga Tok Bali, hari ini  - Foto BERNAMA

660,000 batang rokok seludup guna laluan laut dirampas

PASIR PUTEH: Taktik licik penyeludup menggunakan laluan laut untuk menyeludup masuk rokok berjaya dibanteras Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Tiga Tok Bali, yang merampas 660,000 batang rokok dalam serbuan di lima batu nautika di Laut Semerak di sini, semalam.

Serbuan jam 3 pagi itu dilakukan hasil maklumat awam dan risikan yang membawa kepada rampasan tiga jenis rokok seludup diisi dalam 3,300 karton, bernilai RM349, 800 termasuk cukai.

Komander Pasukan Polis Marin Wilayah Tiga, Asisten Komisioner Norzaid Muhammad Said, berkata operasi dilakukan empat anggota dan seorang pegawai dengan mengekori bot penyeludup dari laut Melawi, Bachok.

“Sebaik menyedari kehadiran pihak berkuasa, bot dinaiki tiga lelaki itu memecut laju sehingga laut Beting Lintang, Besut.

“Penyeludup berkenaan kemudiannya berpatah balik ke Pantai Semerak sebelum bertindak membuang rokok ke dalam laut untuk meloloskan diri.

“Hasil pencarian, pasukan kita menemui rokok putih pelbagai jenama iaitu John Putih, John Merah dan U2 dibungkus dengan plastik hitam, yang terapung di permukaan air,” katanya pada sidang media di Markas Taktikal PPM Tok Bali, di sini, hari ini.

Beliau berkata, penyeludup melarikan diri dan jumlah rampasan sebanyak 66 kotak rokok dibawa balik ke Markas Taktikal Tok Bali untuk tindakan selanjutnya mengikut Akta Kastam 1967.

Katanya, rokok berkenaan diperoleh dari negara jiran untuk dibawa masuk ke Kelantan sebelum dihantar ke Terengganu dan Pahang.

“Siasatan kita mendapati, penyeludup sebelum ini membawa barang terlarang menggunakan sungai dan melalui pangkalan haram, namun kini berubah kepada laluan laut.

“Penyeludup beranggapan laluan laut lebih senang memandangkan luas dan menyangkakan kawalan tidak ketat sebagaimana di laluan sungai.

“Namun, PPM sentiasa membuat pemantauan bagi mengekang kegiatan penyeludupan yang menggunakan laluan laut,” katanya.

Berita Harian X