Sabtu, 12 Oktober 2019 | 7:29pm
Ketua Polis negeri, Datuk Mat Kasim Karim. - Foto Muhammad Zuhairi Zuber

2 lagi ahli DAP dikaitkan dengan LTTE ditahan

MELAKA: Dua lagi individu yang juga ahli DAP di Melaka ditahan mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) (SOSMA), hari ini.

Pengerusi DAP negeri, Datuk Tey Kok Kiew, mengesahkan kedua-dua individu itu ialah Ahli Majlis pihak berkuasa tempatan (PBT) negeri ini dan ketua pegawai eksekutif (CEO) perbadanan anak syarikat kerajaan negeri.

“Saya difahamkan mereka ditahan di rumah masing-masing, sekitar Durian Tunggal, Alor Gajah, di sini, kira-kira jam 10 pagi tadi,” katanya ketika dihubungi sebentar tadi.

Sementara itu, Ketua Polis Melaka, Datuk Mat Kasim Karim, mengesahkan kedua-dua individu itu ditahan kerana dipercayai mempunyai kaitan dengan kumpulan pengganas Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE).

“Memang betul mereka ditahan di bawah SOSMA oleh pihak polis Bukit Aman hari ini dan ia berkait dengan penahanan seorang EXCO Melaka sebelum ini.

“Maklumat lanjut bagaimanapun saya tak boleh maklumkan lagi dan kita serahkan kepada pihak polis untuk jalankan siasatan,” katanya.

Khamis lalu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang juga EXCO kerajaan negeri Melaka, antara tujuh individu ditahan pihak polis selepas dipercayai terbabit dalam majlis memperingati perjuangan LTTE.

Mereka ditahan kerana didakwa mempromosikan, menyokong, dan memiliki bahan serta mengagihkan dana yang mempunyai kaitan kumpulan pengganas itu.

Berita Harian X