Ahad, 13 Oktober 2019 | 1:34pm
Taktik licik penyeludup minyak menggunakan tangki tambahan dalam kereta. - Ihsan PGA7

Taktik tangki tambahan 'tak jalan'

PASIR MAS: Taktik licik penyeludup minyak menggunakan tangki tambahan dalam kereta terbongkar susulan serbuan anggota Batalion 7 Pasukan Gerakan Am (PGA7) di sebuah stesen minyak di Rantau Panjang, semalam.

Dalam operasi jam 10.30 pagi itu, lelaki warga Thailand berusia 40-an ditahan ketika mengisi minyak ke dalam sebuah Proton Waja.

Pemeriksaan lanjut anggota PGA7 membawa kepada penemuan tangki tambahan di but dan tempat duduk belakang.

Kereta berkenaan dan sejumlah 150 liter diesel yang keseluruhan dianggar bernilai RM10,327 dirampas untuk siasatan lanjut.

Pegawai Pemerintah PGA7, Superintendan Azhari Nusi, berkata pihaknya membuat tinjauan pada jam 10.30 pagi sebelum mengenal pasti sebuah kereta dalam keadaan mencurigakan.

Katanya, pemandu kereta itu ditahan manakala diesel yang diisi dalam tangki tambahan kenderaan dipercayai untuk diseludup ke negara jiran.

“Pemandu kenderaan ditahan untuk siasatan lanjut sebelum diserahkan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Kelantan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 yang jika sabit kesalahan boleh didenda sehingga RM1 juta dan tiga tahun penjara,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Dalam perkembangan berkaitan, Azhari berkata, setakat ini PGA7 merampas pelbagai barangan seludup bernilai lebih RM1.3 juta melalui Ops Wawasan juta sejak 15 September lalu.

“Kerjasama baik pelbagai agensi keselamatan seperti polis, KPDNHEP, pasukan Polis Marin (PPM) dan Agensi Keselamatan Sempadan (AKSEM) banyak membantu pihak kami menjalankan tugas.

“Usaha ini akan diteruskan supaya penyeludupan dapat dihalang terutama di kawasan sempadan sepanjang Sungai Golok,” katanya.

Berita Harian X