Ahad, 13 Oktober 2019 | 2:46pm
Menjelaskan tidak menjadi kesalahan untuk bersimpati dengan etnik Tamil di Sri Lanka, Ayob Khan bagaimanapun berkata, apa yang melanggar undang-undang ialah sokongan terhadap LTTE. - NSTP/Aizuddin Saad

'Etnik Tamil di Sri Lanka dengan LTTE jauh berbeza'

KUALA LUMPUR: Simpati terhadap nasib etnik Tamil di Sri Lanka dan sokongan buat kumpulan pengganas Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE) adalah dua perkara berbeza.

Penegasan Ketua Penolong Pengarah Bahagian Antipengganas (E8) Cawangan Khas Bukit Aman, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay, itu perlu difahami masyarakat bagi mengelak tercetus kekeliruan yang boleh mengundang pelbagai situasi.

Kumpulan LTTE diklasifikasikan sebagai pengganas oleh Amerika Syarikat (AS), Sri Lanka dan India, manakala Malaysia mula menyenaraikannya pada 2014.

Menjelaskan tidak menjadi kesalahan untuk bersimpati dengan etnik Tamil di Sri Lanka, Ayob Khan bagaimanapun berkata, apa yang melanggar undang-undang ialah sokongan terhadap LTTE.

“Saya turut bersimpati dengan nasib etnik Tamil di Sri Lanka, tetapi saya tidak menyokong LTTE.

“Jangan terkeliru antara nasib etnik Tamil di Sri Lanka dengan kekejaman dan keganasan LTTE,” katanya dalam sidang media di Bukit Aman di sini, hari ini.

Ditanya mengenai penularan gambar memaparkan beberapa pemimpin politik bergambar dengan individu dikaitkan LTTE, Ayob Khan berkata, pihaknya tidak boleh sewenang-wenang menahan sesiapa tanpa asas kukuh.

“Ramai yang bergambar, malah ada yang bergambar dengan gangster. Takkan kalau kita tahan gangster, orang yang bergambar dengannya ditahan juga.

“Tangkapan dibuat atas asas kukuh dan jika kita dapati mereka menyokong dan mempromosi (keganasan), kita tahan tanpa mengira latar belakang, tanpa mengira siapa dia,” katanya.

Mengulas kenyataan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng, berhubung tiada lagi individu daripada parti itu akan ditahan selepas ini, Ayob Khan menegaskan tidak pernah mengatakan sedemikian.

“Dari mana beliau (Guan Eng) dapat maklumat mengenai perkara itu? Yang pasti ia bukan daripada saya.

“Saya tidak pernah membuat kenyataan polis akan menghentikan siasatan kerana jika dalam siasatan kita dapat asas dan bukti yang kukuh, kita akan melakukan tangkapan lagi,” katanya.

Percaya ada badan bukan kerajaan (NGO) yang mempunyai cawangan seluruh negara aktif mengumpul dana untuk LTTE, Ayob Khan mengulangi pendirian pihaknya yang tidak mengambil kira pegangan politik atau latar belakang susulan penahanan 12 individu berkenaan.

“Tangkapan dibuat kerana polis mengesyaki mereka terbabit menyokong kumpulan pengganas dan tindakan diambil tanpa mengira parti politik, kaum dan sebagainya.

“Jika ada bukti kukuh, kita tangkap,” katanya.

Berita Harian X