Ahad, 13 Oktober 2019 | 5:14pm
Anggota polis forensik menjalankan siasatan susulan mangsa pembunuhan kejam yang anggota badannya ditemui dikerat-kerat di Kampung Ladang, Krubong, Khamis lalu. - NSTP/Rasul Azli Samad

Usaha cari tangan mangsa pembunuhan kejam dipergiatkan

MELAKA: Usaha sedang giat dilakukan bagi mengesan pergelangan tangan mangsa pembunuhan kejam yang anggota badannya ditemui dikerat-kerat di Kampung Ladang, Krubong, di sini, Khamis lalu.

Ketua Polis Melaka, Datuk Mat Kasim Karim, berkata beliau difahamkan bahagian tubuh mangsa itu dibuang ke dalam tong sampah dan ia masih belum ditemui hingga kini.

“Bahagian tangan mangsa masih belum ditemui. Ia masih dalam proses pencarian bagi melengkapkan bahagian tubuh mangsa yang sudah ditemui untuk membantu proses siasatan.

“Difahamkan, bahagian tangan mangsa dibuang dalam tong sampah dan kemudiannya diangkut oleh pihak berkaitan,” katanya ketika dihubungi, di sini hari ini.

Mat Kasim ketika mengulas lanjut, berkata belum ada perkembangan terbaru berhubung kes itu dan pasukan penyiasat kini sedang melengkapkan proses siasatan, termasuk menunggu laporan bedah siasat.

“Dalam melengkapkan proses siasatan, ada beberapa perkara yang perlu diteliti dan diperincikan,” katanya.

Bagaimanapun, beliau tidak dapat mendedahkan lokasi penemuan terbaru anggota badan mangsa pembunuhan itu iaitu bahagian kepala.

“Dari segi lokasi penemuan, tidak wajar ia didedahkan kerana dikhuatiri mengganggu siasatan dan proses pertuduhan,” katanya.

Khamis lalu, beberapa lapan anggota badan milik lebih dari seorang individu ditemui dalam kawasan semak di Kampung Ladang, Krubong, di sini kira-kira jam 4 petang, yang dipercayai dibunuh di tempat lain sebelum dicampak di lokasi berkenaan.

Hasil siasatan awal, polis tidak menolak kemungkinan anggota badan yang dikerat itu milik seorang wanita dan anak lelakinya yang tular di media sosial sejak kelmarin.

Bagaimanapun, pengesahan lanjut hanya dapat ditentukan selepas menerima laporan lengkap hasil bedah siasat.

Berita Harian X