Isnin, 14 Oktober 2019 | 3:31pm
Keputusan permohonan bekas Ahli Parlimen Batu, Tian Chua, berhubung kelayakannya untuk bertanding dalam pilihan raya ditetapkan pada 6 November depan. - NSTP/Aziah Azmee

Keputusan kes Tian Chua untuk bertanding dalam Pilihan Raya 6 November

KUALA LUMPUR: Keputusan permohonan bekas Ahli Parlimen Batu, Tian Chua, berhubung kelayakannya untuk bertanding dalam pilihan raya ditetapkan pada 6 November depan.

Tarikh itu ditetapkan Hakim Datuk Seri Marina Yahya di Mahkamah Tinggi di sini, hari ini selepas kedua-dua pihak selesai mengemukakan hujahan masing-masing di kamar hakim.

Peguam Datuk Gurdial Singh Nija mewakili Tian Chua atau nama sebenarnya Chua Tian Chang manakala Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) diwakili Peguam Kanan Persekutuan, Md Azizan Arshad dan Maisarah Jauhari.

Pada 26 April lalu, Tian Chua memfailkan permohonan untuk deklarasi bahawa beliau adalah seorang yang layak untuk bertanding dalam pilihan raya dan pilihan raya kecil.

Tian Chua juga memohon deklarasi bahawa tidak adil untuk menafikan kelayakan dan haknya untuk bertanding.

Berdasarkan affidavit, Tian Chua mendakwa dia layak mengikut Perkara 48(1)(e)Perlembagaan Persekutuan.

Wakil rakyat itu berkata, keputusan kesnya di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur dan Shah Alam menjelaskan bahawa kelayakan dan haknya untuk bertanding tidak terjejas oleh hukuman yang dijatuhkan.

Tambahnya, bekas Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia juga ada membuat pengumuman bahawa kedudukannya sebagai Ahli Parlimen terus kekal dan tidak mendapat sebarang bantahan berhubung perkara itu.

Tian Chua mendakwa pernah menjadi calon, bertanding dan menang sebagai Ahli Parlimen pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) tanpa sebarang bantahan.

Berdasarkan afidavit sokongan, Tian Chua mendakwa pegawai pilihan raya gagal mengambil kira semua fakta dan menyebabkan pencalonannya ditolak ketika PRU-14.

Sebelum ini, terdapat dua keputusan Mahkamah Tinggi berasingan yang menjatuhkan hukuman denda RM2,000 terhadapnya, masing masing atas kesalahan menghina pegawai polis dan mengganggu penjawat awam.

Berita Harian X