Isnin, 14 Oktober 2019 | 3:51pm
Polis memburu seorang lelaki warga Bangladesh yang disyaki mencabul seorang kanak-kanak perempuan berusia lima tahun di sebuah kedai menjual langsir di Nilai 3, minggu lalu. - Ihsan PDRM

Polis buru lelaki warga Bangladesh cabul kanak-kanak

NILAI: Polis memburu seorang lelaki warga Bangladesh yang dipercayai mencabul seorang kanak-kanak perempuan berusia lima tahun di sebuah kedai langsir di sini, minggu lalu.

Ketua Polis Daerah Nilai, Superintendan Mohd Nor Marzukee Besar, berkata ibu mangsa warga Indonesia berusia 37 tahun memberitahu kira-kira jam 10 malam Rabu lalu, anaknya mengadu sakit pada kemaluan.

Katanya, selepas ditanya kanak-kanak itu memberitahu lelaki warga Bangladesh dikenali sebagai Alam membuka seluar dan mencabulnya.

“Wanita itu kemudian membuat laporan polis dan siasatan awal mendapati kejadian dipercayai berlaku dalam sebuah bilik rehat di tempat kerja ibunya iaitu sebuah kedai langsir di Nilai 3.

“Wanita itu dan suaminya sudah mengenali suspek sejak enam tahun lalu kerana tempat kerja mereka hanya bersebelahan dan suspek selalu datang bermain dengan mangsa,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Mohd Nor Marzukee berkata, wanita itu tidak pasti berapa kali anaknya dicabul kerana ini kali pertama anak tunggalnya itu mengadu kejadian itu.

Pemeriksaan di rumah suspek mendapati lelaki itu sudah melarikan diri dan kes disiasat mengikut Seksyen 14(d) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.

Berita Harian X