Isnin, 14 Oktober 2019 | 3:56pm
PGA7 merampas rokok seludup bernilai RM162,360 di dalam sebuah kenderaan di Felda Chiku 1. - Ihsan PGA

PGA7 rampas rokok seludup RM162,360

GUA MUSANG: Taktik menempatkan pengintip di sepanjang jalan untuk melancarkan kegiatan penyeludupan gagal apabila dapat dihidu Batalion 7 Pasukan Gerakan Am (PGA7) yang merampas rokok seludup bernilai RM162,360 di Felda Chiku 1 di sini, hari ini.

Pegawai Pemerintah PGA7, Superintendan Azhari Nusi, berkata dalam kejadian jam 4 pagi itu, pasukannya melakukan serbuan di sebuah rumah selepas mengikuti kereta jenis Proton Iswara yang dipandu seorang lelaki.

Katanya, hasil pemeriksaan menemui 610 karton rokok pelbagai jenama seperti Gudang Garam Surya, Premium Gold dan Luffman di dalam kereta terbabit.

“Siasatan awal mendapati bekalan diperoleh dari negara jiran dan diseludup melalui Sungai Golok untuk dipasarkan ke kawasan di sekitar Gua Musang.

“Penyeludupan ini dibuat dengan begitu terperinci, malah pengintip ditempatkan di sepanjang jalan sebagai ‘mata-mata’ untuk membantu melancarkan kegiatan penyeludup terbabit.

“Namun, hasil tindakan pantas pihak PGA7 melalui risikan sempadan berjaya menghalang kegiatan mereka dan kesemua barang rampasan di bawa ke Balai Polis Paloh 2 untuk tindakan serta siasatan lanjut,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Azhari berkata suspek mengakui memperoleh pendapatan yang lumayan melalui hasil penyeludupan itu.

“Kes ini akan disiasat di bawah Seksyen 135 (1)(d) Akta Kastam 1967 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 135(1)(iii)(aa) akta yang sama.

“Jika disabit kesalahan, boleh didenda sehingga 20 kali ganda nilai barangan atau penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya.

Beliau memaklumkan, sepanjang penugasan PGA7 dalam Ops Wawasan bermula 15 September lalu, mereka berjaya merampas pelbagai barangan seludup bernilai lebih RM1.5 juta membabitkan 74 kes.

Berita Harian X