Isnin, 14 Oktober 2019 | 5:12pm

Pendakwaan setuju kemuka salinan gambar barangan milik keluarga Najib

KUALA LUMPUR: Pendakwaan bersetuju mengemukakan salinan gambar barangan milik Datuk Seri Najib Razak; isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor dan anak perempuan mereka yang disita Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), membabitkan 315 beg tangan pelbagai jenama dan 14 utas jam.

Timbalan Pendakwa, Raya Fatnin Yusof, berkata, beliau tidak mempunyai sebarang bantahan untuk memberikan salinan semua gambar barang yang dirampas kecuali wang tunai pelbagai mata wang asing.

Beliau berkata demikian pada prosiding permohonan dikemukakan responden bagi mendapatkan butiran barangan terbabit, di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Mohamed Zaini Mazlan.

Terdahulu, Peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang mewakili Najib, Rosmah dan Nooryana Najwa Mohd Najib yang diwakili peguam Azrul Zulkifli Stork, memohon salinan gambar berkenaan dirujuk terlebih dulu kepada anak guamnya.

Mahkamah kemudian menetapkan 15 November untuk sebutan semula kes.

Pada 18 Julai lalu, Najib, 66, memfailkan notis usul bagi mendapatkan butiran lengkap dan memeriksa barangan yang disita SPRM termasuk 315 beg tangan pelbagai jenama dan wang tunai pelbagai mata wang asing.

Dalam notis usul itu, Najib memohon supaya responden membekalkan atau menzahirkan gambar berwarna berserta deskripsi lengkap seperti label, lambang, kad hadiah, bungkusan dan kotak yang dijumpai bersama dengan harta alih yang disita oleh PDRM pada 17 Mei 2018.

Najib memfailkan permohonan itu atas alasan sebahagian daripada kandungan kotak-kotak, beg serta bekas simpanan yang menjadi sebahagian daripada harta alih yang dirampas sudah dikeluarkan daripada bungkusan asalnya dan ia menyebabkan kekeliruan bagi membuat pengecaman terhadap harta alih berkenaan.

Rosmah, 68, dan Nooryana, 31, pula memohon supaya diberi kebenaran untuk membuat pemeriksaan fizikal dan meneliti harta-harta alih yang disita dan berada dalam jagaan PDRM.

Menurut kedua-dua notis usul itu, antara barangan yang dirampas ialah 315 beg tangan pelbagai jenama, 14 utas jam dan 27 pasang kasut pelbagai jenama serta wang tunai pelbagai mata wang asing, antaranya membabitkan wang tunai RM537,000, Pound Sterling £2,700, Rupee Sri Lanka 2,870,000, wang lama Ringgit Malaysia RM187,750 dan £320,500 (Pound Sterling).

Pada 30 Mei lalu, Mahkamah Tinggi di sini membenarkan pihak pendakwaan mewartakan notis kepada pihak ketiga yang mempunyai kepentingan ke atas ratusan beg tangan pelbagai jenama, wang tunai pelbagai mata wang asing, jam tangan dan 27 kereta yang dirampas daripada pasangan suami isteri itu bersama tiga anak mereka dan 13 individu lain serta beberapa syarikat.

Mahkamah membenarkan permohonan pendakwaan mengikut Akta 56 dan 61(2) Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.

Notis berkenaan bagi membolehkan pihak berkepentingan terbabit untuk tampil ke mahkamah pada hari yang akan ditetapkan kemudian bagi memberikan alasan mengapa harta berkenaan tidak sepatutnya dilucut hak oleh kerajaan.

Najib hadir di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, hari ini. - NSTP/Mohamad Shahril Badri Saali
Berita Harian X