Isnin, 14 Oktober 2019 | 8:32pm
Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad hadir di Mahkamah Tinggi Jenayah 3, Kuala Lumpur, hari ini. - NSTP/Mohamad Shahril Badri Saali
Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad hadir di Mahkamah Tinggi Jenayah 3, Kuala Lumpur, hari ini. - NSTP/Mohamad Shahril Badri Saali

Ahli Lembaga Pengarah FICSB perlu patuh M&A

KUALA LUMPUR: Semua Ahli Lembaga (BOD) FELDA Investment Corporation Sdn Bhd (FICSB) sepatutnya bertindak mengikut perlembagaan Memorandum and Article of Association (M&A) syarikat itu.

Demikian kata saksi pendakwaan kesembilan, bekas Setiausaha Syarikat FICSB, Cheong Choon Yin, 48 dalam kes pecah amanah dan sembilan tuduhan menerima rasuah lebih RM3 juta yang dihadapi bekas Pengerusi FELDA, Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad, lima tahun lalu.

Saksi itu memberitahu Mahkamah Tinggi di sini, hari ini, BOD FICSB ialah Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad, Datuk Faizoull Ahmad; Datuk Dr Omar Salim; Datuk Noor Ehsanuddin Mohd Harum Narrashid; Datuk Nik Azman Mohd Zain; Tan Sri Dr Mohd Irwan Serigar Abdullah dan Mohd Zaid Abdul Jalil.

“Sebagai BOD FICSB, Mohd Isa mempunyai tanggungjawab terhadap FICSB,” kata saksi yang memegang jawatan itu bersama Wong Siew Yeen sejak 2 Julai 2013 hingga 10 Julai 2014.

Saksi itu berkata, beliau hanya bertindak sebagai Joint Co Secretary untuk FICSB yang bukan dalam portfolio pelanggannya dan beliau tidak pernah menghadiri mesyuarat BOD FICSB.

Sementara itu, saksi ke-10, bekas Setiausaha Syarikat FICSB, Shahniza Anom Elias, 51, memberitahu mahkamah sama bahawa tugas Setiausaha Syarikat FICSB untuk memberikan perkhidmatan setiausaha korporat.

“Antara tugas saya menyediakan dokumentasi bagi tujuan pendaftaran syarikat baru ditubuh kepada SSM atas arahan pengurusan FICSB.

“Saya juga mengurus Mesyuarat BOD, memfailkan laporan kewangan; mengeluarkan notis panggilan mesyuarat BOD dan mencatat minit mesyuarat,” katanya.

Pada 7 Oktober lalu, bekas Ketua Bahagian Perundangan dan Kesetiausahaan FICSB, Siti Salwani Mohd Salleh, 41, memberitahu Mahkamah Tinggi bahawa Mohd Isa bertindak melangkaui mandat pelaburan ditetapkan FELDA dalam pembelian hotel itu oleh FICSB iaitu anak syarikat FELDA.

Bekas Pengarah Besar FELDA, Datuk Hanapi Suhada, 62, pula berkata Mohd Isa tidak meminta kelulusan pembelian Merdeka Palace Hotel and Suite (MPHS) di Kuching, Sarawak dalam Mesyuarat BOD FELDA.

Pada 14 Disember 2018, Mohd Isa mengaku tidak bersalah atas satu pertuduhan pecah amanah dan sembilan pertuduhan menerima rasuah berjumlah lebih RM3 juta bagi meluluskan pembelian sebuah hotel di Kuching, Sarawak.

Beliau dituduh melakukan kesalahan pecah amanah di Tingkat 50, Menara FELDA, Platinum Park, Persiaran KLCC pada 29 April 2014 mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang memperuntuk hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Mohd Isa juga dituduh melakukan semua kesalahan menerima rasuah di Tingkat 49, Menara FELDA, Platinum Park, Persiaran KLCC antara 21 Julai 2014 dan 11 Disember 2015.

Pertuduhan mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, boleh dihukum mengikut Seksyen 24(1) akta sama dan sabit kesalahan boleh dipenjara maksimum 20 tahun serta denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi.

Perbicaraan bersambung esok di depan Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X