Selasa, 15 Oktober 2019 | 8:20am
Mangsa ditemui lemas selepas menjalankan kerja menggali bagi tujuan mendalamkan kolam ikan di Kampung Keligan Kinaratuan di Ranau. - Foto ihsan Bomba

Lemas dalam kolam digali sendiri

RANAU: Seorang lelaki warga Indonesia ditemui lemas selepas dipercayai tergelincir ketika menjalankan kerja menggali kolam ikan sedalam 2.43 meter di Kampung Keligan Kinaratuan di sini, semalam.

Mangsa, Junaidi @ Yoannes Yangka, 35, ditemui pasukan bomba pada jam 5.09 petang selepas dilaporkan hilang oleh rakan sekerjanya kira-kira jam 3.30 petang pada hari yang sama.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Daerah Ranau, Ridwan Mohd Taib berkata, pihaknya menerima panggilan pada jam 3.59 petang dan seramai lapan anggota bomba bersama sebuah satu jentera serta kenderaan utiliti Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dikejar ke lokasi kejadian.

Operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa dilakukan dengan bantuan penduduk kampung di lokasi terakhir mangsa dilaporkan tergelincir.

Mangsa kemudiannya ditemui di dasar kolam dan disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan.

“Mayat diserahkan kepada polis sebelum dibawa ke Hospital Ranau untuk tindakan lanjut dan operasi ditamatkan jam 5.15 petang,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Ketua Polis Daerah Ranau, Deputi Superintendan Mohd Shahrul Abdul Wahab ketika dihubungi berkata, kes diklasifikasikan mati mengejut (SDR) namun siasatan masih diteruskan bagi mengenal pasti punca sebenar.

“Mangsa dipercayai membantu rakannya menggali kolam bertujuan menambah kedalaman dengan menggunakan jentera, namun tergelincir dan terjatuh lalu tenggelam sebelum gagal dikesan rakannya berikutan keadaan air kolam yang kabut.

“Difahamkan, kolam seluas 0.81 hektar itu digunakan untuk tujuan memancing,” katanya.

Berita Harian X