X
Selasa, 15 Oktober 2019 | 4:02pm
Sebuah kedai penggurup wang dirompak sekumpulan lelaki bersenjatakan parang dan kapak. - NSTP/Mohd Khidir Zakaria
Sebuah kedai penggurup wang dirompak sekumpulan lelaki bersenjatakan parang dan kapak. - NSTP/Mohd Khidir Zakaria

Lima lelaki rompak penggurup wang

PORT DICKSON: Lima lelaki bersenjatakan parang dan kapak melarikan wang tunai lebih RM50,000 dari sebuah kedai penggurup wang di sebuah pasar raya di sini petang semalam.

Dua lelaki terbabit menyerbu kedai itu kira-kira jam 4.30 petang dan memecahkan cermin keselamatan dengan kapak dan hanya mampu diperhatikan tiga pekerja kedai itu.

“Semua pekerja yang berada dalam ketakutan terus bersembunyi di bahagian bawah meja kedai tetapi seorang pekerja sempat menekan butang loceng penggera, namun suspek meneruskan tindakan memecahkan kaca kedai sehingga pecah,” kata Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintendan Aidi Sham Mohamed.

Suspek kemudian membuka laci yang menyimpan pelbagai mata wang asing serta tempatan.

Katanya, keseluruhan mata wang tempatan yang dilarikan dianggarkan berjumlah RM50,000 manakala jumlah mata wang asing masih belum dapat dipastikan.

“Siasatan menerusi rakaman kamera litar tertutup (CCTV) mendapati tiga daripada suspek berkawal di bahagian luar kedai sebelum melarikan diri menaiki sebuah kereta jenis Toyota Vios,” katanya.

Katanya, polis menemui kereta dinaiki suspek yang ditinggalkan di tempat letak kereta di Flat Taman Orkid, Jalan Bypass, di sini, jam 5.30 petang semalam dan siasatan mendapati ia bersabit kejadian samun di kawasan Tampoi, Johor.

“Semua suspek dipercayai melarikan diri dengan menggunakan kereta Perodua Axia berwarna perak berdasarkan maklumat daripada orang awam,” katanya.

Polis melancarkan Ops Tutup bagi mengesan suspek.

Berita Harian X