Selasa, 15 Oktober 2019 | 4:45pm

JPJ Selangor lelong 246 kereta mewah klon

SHAH ALAM: Sebanyak 246 kereta mewah klon Mercedez Benz, BMW, Jaguar, Audi, Mini Cooper dan Volkswagen bakal menjadi tumpuan pada acara lelongan awam Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Selangor hujung bulan ini.

Ketua Pengarah JPJ, Datuk Seri Shaharuddin Khalid, berkata harga lelongan dari serendah RM1,300 hingga RM25,000, bergantung kepada jenis kenderaan.

“JPJ Selangor akan mengadakan Lelongan Awam Siri Kedua 2019 bermula 30 hingga 31 Oktober di Dewan Teratai, Seksyen 19 Shah Alam, dengan 130 kereta dilelong pada hari pertama, manakala bakinya akan dilelongkan pada hari kedua.

“Kesemuanya kereta klon yang dirampas dalam operasi kita sebelum ini. Bagi yang berminat, mereka perlu membeli buku memaparkan maklumat kenderaan lelongan pada harga RM100 bermula esok sehingga 25 Oktober ini di JPJ Selangor,” katanya pada sidang media, di sini hari ini.

Hadir sama Pengarah JPJ Selangor, Nazli Md Taib.

Shaharuddin berkata, pembeli perlu membida untuk mendapat kenderaan yang dilelong dan sekiranya berjaya, mereka wajib membayar 25 peratus daripada harga bidaan.

Beliau berkata, pembayaran perlu dibuat melalui kiriman wang atau draf bank pada hari yang sama kerana tiada transaksi secara tunai dibenarkan bagi menjamin isu berkaitan intergriti.

“Bagi perkidmatan van Pos Malaysia kita akan usahakan bagi penjualan melalui kiriman wang pada hari lelongan. Pembeli tidak perlu bimbang kerana kenderaan yang dilelong itu selamat digunakan kerana kenderaan ini sudah dilucutkan hak oleh JPJ,” katanya.

Beliau berkata, kenderaan yang terbabit kes diklon akan melalui proses siasatan, pemeriksaan, pembetulan pendaftaran kenderaan klon yang ditahan sebelum ia dilelong selepas mendapat kebenaran daripada mahkamah.

“Ada juga nombor pendaftaran dan nombor enjin kenderaan terbabit dihantar ke Interpol untuk pengesahan jika kenderaan itu ‘bersih’ (bebas kes jenayah), kita akan buat proses permohonan ke mahkamah untuk kebenaran lelong.

“Kita tidak mahu kenderaan yang dilelong ada kaitan dengan jenayah, jika kenderaan dari luar negara kita akan hantar ke Interpol atau polis di sini takut ada isu jenayah,” katanya.

Beliau berkata, semua kenderaan yang akan dilelong itu disita di Selangor dan kebanyakan kenderaan klon ini datang dari negara jiran seperti Thailand dan Singapura.

Shaharuddin (kiri) melihat kereta klon untuk dilelong. - NSTP/Sadam Yusoff
Shaharuddin menunjukkan kereta klon untuk dilelong pada sidang media pelancaran JPJeBid dan lelongan awam Siri 02/2019 di JPJ Padang Jawang. - NSTP/Sadam Yusoff
Berita Harian X