Selasa, 15 Oktober 2019 | 5:33pm

Makmal dadah baru sehari beroperasi diserbu

SHAH ALAM: Makmal dadah di sebuah premis di Jalan Meru, dekat sini, yang terbakar Jumaat lalu, dipercayai baru beroperasi tidak sampai sehari sebelum kejadian.

Sindiket dadah terbabit juga dipercayai memilih kawasan berkenaan sebagai pusat operasi makmal syabu berikutan kedudukannya yang agak terpencil bagi mengelakkan perbuatan mereka dikesan, terutama pihak berkuasa kerana bau busuk syabu yang dimasak.

Bagaimanapun, Ketua Polis Selangor, Datuk Noor Azam Jamaludin, berkata makmal itu diserbu Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah Klang Utara, kira-kira jam 9.30 pagi Jumaat, selepas menerima maklumat daripada orang awam yang melihat asap tebal keluar dari premis berkenaan.

Susulan itu, polis menahan dua lelaki tempatan yang disyaki terbabit dalam kerja memproses syabu dan kedua-dua mereka mempunyai pengalaman dalam aktiviti berkenaan.

“Berdasarkan siasatan awal, sindiket ini baru saja ingin memulakan kerja memproses syabu, namun berlaku letupan kecil berpunca daripada reaksi bahan kimia sehingga menyebabkan sebahagian daripada premis itu terbakar.

“Pihak polis dan bomba yang tiba di lokasi kejadian kemudian mendapati premis berkenaan sebenarnya adalah makmal memproses cecair ibu syabu ‘meth oil’ untuk dijadikan syabu yang siap dimasak,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Beliau berkata, pihaknya merampas ‘meth oil’ yang dianggarkan seberat 45.8 kilogram (kg) yang dipercayai boleh menghasilkan sebanyak 23.5 kg syabu termasuk dalam bentuk pil serta peralatan makmal untuk memproses dadah.

“Keseluruhan nilai dadah yang dirampas dianggarkan berjumlah RM1.65 juta dan boleh membekalkan syabu kepada 47,000 penagih sekiranya siap diproses.

“Untuk rekod, ini kejayaan keempat Polis Kontinjen Selangor pada tahun ini dalam usaha melumpuhkan sindiket pemprosesan dan pengedaran dadah untuk tahun ini,” katanya.

Mengulas tangkapan dua lelaki, Noor Azam berkata, suspek pertama seorang duda berusia 47 tahun, mempunyai tiga rekod jenayah dan 11 rekod kes dadah.

“Dia pernah ditangkap bersabit kes makmal dadah haram di Mantin, Negeri Sembilan pada 2016 selain mempunyai kepakaran ‘memasak’ syabu selepas mempelajarinya di Itali dan China,” katanya.

Sementara itu, suspek kedua berusia 52 tahun, mempunyai tiga rekod kes dadah dan pernah menjalani hukuman penjara 10 tahun di China atas kesalahan memiliki pil ekstasi.

“Suspek kedua yang baru dibebaskan dari penjara di China pada 2017 berperanan sebagai pembantu dengan membungkus syabu selepas ia siap diproses.

“Kedua-dua suspek juga memaklumkan mereka baru saja berjumpa di premis berkenaan kurang 24 jam sebelum itu dan tidak pernah mengenali antara satu sama lain sebelum ini,” katanya.

Polis turut menyita sebuah kereta dianggarkan bernilai RM3,000 dan wang tunai RM580 manakala kedua-dua suspek kini direman selama tujuh hari bermula Sabtu lalu dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

BH sebelum ini melaporkan, kewujudan asap tebal di sebuah gudang kosong di Jalan Meru, dekat sini, Jumaat lalu membongkar kegiatan memproses dadah.

Ketua Polis Selangor, Datuk Noor Azam Jamaludin (dua dari kiri) menunjukkan peralatan memproses dadah pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor, Shah Alam. - NSTP/Faiz Anuar
Berita Harian X