Rabu, 16 Oktober 2019 | 11:51am
PENGARAH Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed. NSTP/Azhar Ramli.

Najib, Kor Ming akan dipanggil beri keterangan

KUALA LUMPUR: Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak akan hadir ke Bukit Aman untuk memberi keterangan berhubung kenyataan berbaur fitnah terhadap Ahli Parlimen Teluk Intan, Nga Kor Ming, dalam minggu ini.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed, berkata pihaknya juga akan merakam keterangan Kor Ming yang juga adalah Pengerusi DAP Perak sekali lagi berhubung siasatan terhadap kes penghinaan kepada Sultan Selangor.

“Kita sudah menghubungi beliau (Najib Razak) berhubung perkara ini, keterangannya dijangka akan dapat diambil dalam minggu ini juga.

“Selain itu, kita juga akan memanggil Nga Kor Ming sekali lagi untuk memberi keterangan,” katanya pada sidang media harian di sini, hari ini.

Terdahulu, Kor Ming menggesa polis menyiasat Facebook ‘Najib Razak’ susulan hantaran berbaur fitnah ke atasnya yang dimuat naik di laman sosial itu pada 30 September lalu.

Ia berkaitan isu penghinaan terhadap Sultan Selangor membabitkan tanda jalan, dimuat naik dalam FB ‘Nga Kor Ming Super Fans’.

Kor Ming menganggap tindakan Najib itu sebagai cubaan merosakkan namanya serta menghasut rakyat membencinya serta parti.

Pada masa sama, Kor Ming disiasat berhubung laporan polis dibuat pengiring Sultan Selangor di Balai Polis Seksyen 6, Shah Alam, pada 1 Oktober lalu.

Laporan polis itu susulan tular satu hantaran yang dimuat naik di FB ‘Nga Kor Ming Super Fans Page’ didakwa mengajak kaum Cina membuat protes terhadap Sultan Selangor berhubung keputusan tidak membenarkan penggunaan tanda jalan dwi bahasa di Selangor, tular di media sosial, pada 29 September lalu.

Polis sebelum ini sudah merakam keterangan Kor Ming kira-kira satu setengah jam namun beliau perlu bergegas kembali ke Parlimen untuk menyertai sidang parlimen.

Berita Harian X