Rabu, 16 Oktober 2019 | 12:17pm

Sekolah ditutup akibat banjir

SUNGAI SIPUT: Sesi persekolahan Sekolah Kebangsaan (SK) Lintang, di sini hari ini dibatalkan apabila dinaiki air sedalam 1.5 meter.

Air mula naik kira-kira jam 5 pagi tadi di kawasan sekitar sekolah berkenaan dan menyebabkan ramai murid serta guru terkandas.

Ketua Pegawai Pendidikan Daerah Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Kuala Kangsar, Safuan Haji Rabaai berkata, banjir juga mengakibatkan pintu pagar sekolah tercabut kerana arus deras.

“Jumlah murid terjejas adalah seramai 67 orang manakala guru seramai 11 orang dan seorang kakitangan sekolah serta dua pekerja swasta.

“Banjir bermula jam 5 pagi dan kawasan sekolah mengalami banjir setinggi 1.5 meter dengan arus laju turut menyebabkan pintu pagar tercabut.

“Kerja-kerja pembersihan tidak dapat dilaksanakan lagi kerana air semakin naik dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan polis serta penduduk kampung membantu mengawasi keadaan banjir.

“Ramai guru dan pekerja terkandas ke sekolah kerana beberapa jalan utama juga ditenggelami air dan susulan itu sekolah ditutup pada hari ini,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Sekolah lain tidak terbabit dengan banjir cuma ada guru dan staf sokongan tidak boleh hadir ke sekolah kerana jalan ditutup.

“Selain SK Lintang, lima sekolah lain mungkin turut terganggu operasi pagi ini iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bawong, SK Jalong, SK Lasah, SMK RLKT Lasah dan SK Temin.

Sejumlah 35 guru dan staf sokongan melapor diri di SK Kampung Maamor disebabkan tidak dapat hadir bertugas di sekolah masing-masing disebabkan banjir,” katanya.

SEKOLAH Kebangsaan (SK) Lintang, Sungai Siput dinaiki banjir sedalam 1.5 meter, air mula naik kira-kira 5 pagi tadi di kawasan sekitar sekolah berkenaan. NSTP/Ihsan PPD Kuala Kangsar
Berita Harian X