Rabu, 16 Oktober 2019 | 12:32pm
BEKAS Ketua Pegawai Eksekutif 1Malaysia Development Bhd (1MDB), Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi. NSTP/Mohd Yusni Ariffin

Jho Lo cerita hubungan Najib-Raja Abdullah

KUALA LUMPUR: Syarikat usaha sama di antara 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan PetroSaudi International Ltd (PSI) didakwa ditubuhkan hasil hubungan peribadi antara Datuk Seri Najib Razak dan Raja Arab Saudi ketika itu, Almarhum Abdullah Abdul Aziz Al Saud.

Bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) 1MDB, Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi, percaya syarikat berkenaan yang dinamakan PSI-1MDB JV ditubuhkan hasil dari hubungan itu.

Perbincangan mengenai pembentukan syarikat usaha sama pelaburan strategik itu dibincangkan di antara Najib dan Raja Abdullah ketika bercuti di atas kapal layar.

Perkara berkenaan diceritakan ahli perniagaan Low Taek Jho atau lebih terkenal dengan nama Jho Low kepada Shahrol Azral yang juga saksi pendakwaan kesembilan.

Menceritakan lebih lanjut mengenai perkara itu, Shahrol Azral memberitahu Mahkamah Tinggi, perkara itu diceritakan sendiri oleh Jho Low kepadanya, bagaimanapun saksi tidak bertanya lanjut sama ada Jho Low turut menyertai perbincangan terbabit.

Shahrol Azral berkata demikian ketika menjawab soalan peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah pada perbicaraan rasuah dan pengubahan wang haram membabitkan penyelewengan dana RM2.3 bilion milik 1MDB di sini, hari ini.

Ketika disoal Muhammad Shafee bahawa sebagai CEO 1MDB, saksi sudah semestinya mahu PSI-1MDB JV berjalan lancar, Shahrol Azral menjawab, “setuju.”

Menjelaskan lanjut, Shahrol Azral berkata, pada tahun 2009, PSI menunjukkan rasa ‘murah hati’ kepada 1MDB dalam menjayakan rancangan usaha sama terbabit.

Menurut saksi, perkara itu berlandaskan tawaran PSI untuk meletakkan aset bernilai AS$2 bilion dalam usaha sama, bagaimanapun ia hanya perlu diperhitungkan sebagai AS$1.5 bilion di mana perbezaan sebanyak AS$500 juta akan diperuntukkan untuk meningkatkan pegangan saham oleh 1MDB sebanyak AS$1 bilion.

Berita Harian X