Rabu, 16 Oktober 2019 | 1:36pm
SK Lintang, Sungai Siput banjir sedalam 1.5 meter, air mula naik kira-kira jam 5 pagi tadi. - Ihsan PPD Kuala Kangsar
Banjir kilat yang melanda pagi tadi turut mengakibatkan SK Lintang ditutup selepas dinaiki air sedalam 1.5 meter. - Ihsan PPD Kuala Kangsar

Banjir pulih, Sungai Pelus semakin surut

SUNGAI SIPUT: Limpahan air Sungai Pelus akibat hujan lebat yang berterusan sejak awal pagi tadi mengakibatkan banjir kilat di Kampung Lintang di sini mengakibatkan sebuah sekolah terpaksa ditutup.

Sebanyak 177 mangsa terpaksa dipindahkan ke dua pusat pemindahan sementara.

Daripada jumlah itu, 56 mangsa ditempatkan di Dewan Orang Ramai Kampung Tok Sirat, manakala 121 lagi ditempatkan di Dewan Dato Haji Mohamad Padil, pekan Lintang, dekat sini.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri, berkata sehingga jam 11 pagi tadi, seramai 121 daripada 30 keluarga di pekan Lintang dipindahkan ke pusat pemindahan sementara berikutan air Sungai Pelus yang melimpah lalu mengakibatkan banjir kilat di kawasan berkenaan yang dilaporkan bermula kira-kira jam 5 pagi.

“Seramai 61 petugas membabitkan enam agensi Angkatan Pertahanan Awam, Jabatan Bomba dan Penyelamat, polis, Jabatan Kebajikan Masyarakat, Majlis Perbandaran Kuala Kangsar dan Pejabat Penghulu, membantu memindahkan mangsa ke pusat pemindahan sementara,” katanya ketika dihubungi.

Sementara itu, Jurucakap Jawatankuasa Pengurusan dan Bantuan Bencana Daerah (JPBBD) Sungai Siput, berkata seramai 56 mangsa dari 12 keluarga di Kampung Lintang pula terpaksa dipindahkan ke pusat pemindahan sementara di Dewan Orang Ramai Kampung Tok Sirat dekat sini.

“Mangsa terdiri daripada 20 lelaki, 18 wanita, 15 kanak-kank lelaki, lima kanak-kanak perempuan serta seorang kanak-kanak kelainan upaya perempuan,” katanya.

Katanya, keadaan semasa dilaporkan bertambah baik berikutan cuaca cerah dan air juga dilaporkan mulai surut.

Semua mangsa yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara dijangka boleh kembali ke kediaman masing-masing selepas air surut sepenuhnya.

Beliau berkata, ketika ini JPBM dan JPBBD masih meneruskan pemantauan di kawasan berkenaan dan menjangkakan banjir akan pulih berikutan keadaan cuaca yang cerah dan keadaan air yang semakin surut.

Banjir kilat yang melanda kawasan berkenaan pagi tadi turut mengakibatkan Sekolah Kebangsaan (SK) Lintang ditutup selepas dinaiki air sedalam 1.5 meter.

Berita Harian X