Rabu, 16 Oktober 2019 | 4:20pm
BEKAS Pengerusi Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA), Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad hadir ke Mahkamah Tinggi Jenayah 3 menyambung perbicaraan tuduhan rasuah RM3 juta, di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. - Foto NSTP/Zulfadhli Zulkifli
BEKAS Pengerusi Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA), Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad hadir ke Mahkamah Tinggi Jenayah 3 menyambung perbicaraan tuduhan rasuah RM3 juta, di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. - Foto NSTP/Zulfadhli Zulkifli

Mohd Isa suruh kaji pembelian MPHS

KUALA LUMPUR: Bekas Pengerusi FELDA, Tan Sri Mohd Isa Samad, meminta Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Felda Investment Corporation Sdn Bhd (FICSB) untuk membuat kajian pengambilalihan atau pembelian Merdeka Palace Hotel & Suites (MPHS) di Kuching, Sarawak.

Menurut CEO FICSB ketika itu, Mohd Zaid Abdul Jalil, 48, beliau kemudian mengarahkan Bahagian Hospitaliti FICSB untuk membuat kajian terhadap pengambilalihan dan menyemak kertas cadangan berkaitan.

Menceritakan lanjut mengenai perkara itu, Mohd Zaid yang juga saksi pendakwaan ke-15, berkata beliau mendapat arahan untuk membuat kajian daripada Mohd Isa melalui Minit Mesyuarat FICSB.

Mohd Zaid yang memegang jawatan CEO FICSB pada 1 Ogos 2015 hingga 30 Jun 2017, berkata minit itu dinyatakan melalui surat bertarikh 2 September 2013 yang dihantar Syarikat Gegasan Abadi Properties Sdn Bhd (GAPSB) kepada Pejabat Pengerusi FICSB.

Mohd Zaid kemudian mengarahkan Bahagian Hospitaliti iaitu Megat Shahrul Azman dan Fathi Ahmad Shah melakukan kajian terhadap pengambilalihan terbabit.

Saksi itu yang membacakan pernyataan saksi, berkata pada awal November 2013, beliau bersama Pegawai Khas kepada Mohd Isa, Mohd Zahid Md Arip, pergi ke Kuching untuk lawatan dan kajian awal MPHS seperti diarahkan Mohd Isa.

Pada 2 September 2013, kata saksi itu, beliau memaklumkan kepada Lembaga Pengarah FICSB mengenai surat cadangan daripada GAPSB bagi pihak FICSB untuk mengambil alih MPHS.

Menurutnya, berdasarkan penilaian awal, MPHS dijangka bernilai lebih RM109 juta dan MPHS mempunyai potensi baik berdasarkan perkembangan industri pelancongan di Kuching selain pembangunan kawasan sekitar yang strategik.

Saksi itu, ketika menjawab soalan tambahan Timbalan Pendakwa Raya Afzainizam Abdul Aziz, berkata tiada pengecualian diberikan kepada Lembaga Pengarah FICSB mengenai pematuhan bagi pelaburan di bawah RM100 juta ditetapkan Lembaga Pengarah FELDA.

Bagaimanapun, jelas saksi lagi, FICSB dibenarkan membuat pelaburan melebihi nilai RM100 juta tetapi perlu mendapatkan kelulusan Lembaga FELDA.

Ditanya sama ada Lembaga FELDA boleh memberikan kelulusan secara tersirat, saksi menjawab, “tidak boleh.”

“Jika pelaburan melebihi jumlah RM100 juta, kertas mesyuarat perlu dibentang kepada Lembaga Pengarah FELDA untuk dibentang, dan dibahaskan.

“Sekiranya diberikan kebenaran, ia perlu dibentangkan dalam mesyuarat untuk dapatkan kelulusan pengerusi FELDA atau FICSB.

“Saya sendiri akan maklumkan pada Setiausaha Syarikat FELDA berkenaan cadangan kertas dibawa ke Lembaga Pengarah FELDA,” katanya.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X