Rabu, 16 Oktober 2019 | 4:26pm
DATUK Shahrol Azral Ibrahim Halmi ketika ditemui di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. - Foto Zulfadhli Zulkifli

Tugas dan fungsi saya untuk MKD - Shahrol Azral

KUALA LUMPUR: Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi menegaskan bahawa tugas dan fungsi fidusiari beliau sebagai Ketua Pegawai Eksekutif 1Malaysia Development (1MDB) ketika itu adalah untuk kepentingan pemegang saham tunggal iaitu Menteri Kewangan Diperbadankan (MKD).

MKD adalah badan korporat yang merujuk kepada menteri yang bertanggungjawab kepada kewangan ketika itu, iaitu Datuk Seri Najib Razak, berdasarkan Seksyen 3 Akta MKD 1975.

Menurut Shahrol Azral, beliau memegang tanggungjawab mengikut Artikel 117 Memorandum dan Artikel Pertubuhan 1MDB yang menggariskan sebarang komitmen kewangan, pengstrukturan atau apa-apa berkaitan jaminan kerajaan mesti mendapatkan kebenaran Perdana Menteri.

Ia (kebenaran Perdana Menteri) adalah jika ia membabitkan kepentingan untuk syarikat, negara dan dasar kerajaan.

Menjawab soalan peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah pada sesi pemeriksaan balas, saksi pendakwaan kesembilan itu bagaimanapun menegaskan, ia tidak bermakna tanggungjawab terhadap pemegang saham itu mengatasi tugas dan fungsinya kepada syarikat.

Shahrol Azral turut bersetuju dengan cadangan Muhammad Shafee bahawa asas undang-undang syarikat secara prinsipnya ialah tugas dan fungsi fidusiari CEO adalah kepada syarikat dan bukannya kepada pemegang saham.

Muhammad Shafee kemudian mencadangkan bahawa walau apa pun hubungan antara Malaysia dan Arab Saudi (merujuk kepada kerjasama PetroSaudi International Ltd dan 1MDB), tugas CEO IMDB adalah untuk melindungi kepentingan syarikat.

Bagaimanapun saksi itu menegaskan bahawa beliau mengambilnya dari konteks Artikel 117 Memorandum pertubuhan syarikat (iaitu perlu mendapatkan kebenaran daripada Perdana Menteri).

Berita Harian X