X
Rabu, 16 Oktober 2019 | 6:25pm
BEKAS Ketua Pegawai Eksekutif FICSB, Mohd Zaid Abdul Jalil ketika ditemui di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. - Foto Zulfadhli Zulkifli
BEKAS Ketua Pegawai Eksekutif FICSB, Mohd Zaid Abdul Jalil ketika ditemui di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. - Foto Zulfadhli Zulkifli

Isa saran pembelian hotel tidak perlu dibentang dalam mesyuarat - Saksi

KUALA LUMPUR: Bekas Pengerusi FELDA, Tan Sri Mohd Isa Samad, sarankan pengambilalihan Merdeka Palace Hotel & Suite (MPHS) di Kuching, Sarawak, tidak perlu dibentang kepada Ahli Lembaga Pengarah FELDA untuk kelulusan bagi nilai pelaburan melebihi RM100 juta.

Perkara itu dimaklumkan Isa Samad dalam mesyuarat lembaga pengarah Felda Investment Corporation Sdn Bhd (FICSB) ke-10 berkaitan cadangan pengambilalihan MPHS di Kuching.

Bekas Ketua Pegawai Eksekutif FICSB, Mohd Zaid Abdul Jalil, 48, memberitahu Mahkamah Tinggi di sini, beliau memaklumkan kepada lembaga pengarah FICSB bahawa cadangan pengambilalihan MPHS perlu dibentangkan dalam mesyuarat Lembaga FELDA.

Saksi pendakwaan ke-15 itu berkata perkara itu bagaimanapun tidak direkodkan dalam minit mesyuarat.

“Perkara itu dimaklumkan Mohd Isa dalam mesyuarat bahawa ia tidak perlu dibentangkan kepada lembaga pengarah FELDA.

“Ini kerana sebahagian daripada lembaga pengarah FELDA adalah lembaga pengarah FICSB yang meluluskan pengambilalihan MPHS,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membaca keterangan saksi dalam prosiding perbicaraan terhadap Mohd Isa, berhubung kes pecah amanah dan sembilan pertuduhan menerima rasuah lebih RM3 juta yang dihadapinya lima tahun lalu, di hadapan Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali.

Mohd Zaid berkata pada pengetahuannya, tidak semua lembaga pengarah FELDA sama dengan lembaga pengarah FICSB.

“Hanya lima lembaga pengarah FICSB adalah lembaga pengarah FELDA termasuk Isa Samad; Tan Sri Dr Irwan Serigar; Datuk Faizoull; Datuk Dr Omar dan Datuk Ehsanuddin.

“Sepatutnya pelaburan melebihi RM100 juta diluluskan lembaga pengarah FICSB perlu mendapatkan kelulusan Lembaga FELDA sebelum ia diteruskan.

“Pun begitu, bagi cadangan pembelian ekuiti IRIS Corporation Berhad bernilai RM144.7 juta, Mohd Isa ada maklum lembaga pengarah FICSB untuk bentang cadangan kepada lembaga pengarah FELDA,” katanya.

Terdahulu, dalam prosiding sama, Mohd Zaid berkata ketika mesyuarat lembaga pengarah FICSB Ke-10, beliau turut dipanggil Mohd Isa ke biliknya.

Saksi itu berkata, Mohd Isa memaklumkan kepadanya untuk mengekalkan harga pengambilalihan MPHS pada nilai RM160 juta dan tidak perlu bincang mengenai diskaun yang dinyatakannya.

“Saya nyatakan kepada beliau bahawa nilai pengambilalihan dicadangkan saya kepada lembaga pengarah FICSB adalah RM153 juta.

“Selain itu, saya turut nyatakan mengenai justifikasi lebihan RM7 juta dipersetujui untuk bersetuju dengan harga tawaran GAPSB sebanyak RM160 juta.

“Mohd Isa bagaimanapun memberitahu harga RM160 juta itu boleh dijustifikasi dan FICSB perlu ambil kira ‘goodwill’ (nama baik) kerana MPHS dikenali di Kuching, Sarawak,” katanya.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X