Rabu, 16 Oktober 2019 | 6:49pm
ULAR sawa 160 kilogram yang berjaya ditangkap di Kampung Muhibah di Peserai, Batu Pahat. - Foto ihsan bomba

Tunggu 25 minit ular sawa memuntahkan kambing

BATU PAHAT: Pasukan Bomba dan Penyelamat menunggu kira-kira 25 minit untuk ular sawa memuntahkan semula kambing yang cuba ditelannya sebelum boleh menangkap reptilia itu.

Kejadian berlaku di sebuah kandang kambing di Kampung Muhibah di Peserai, Batu Pahat sebelum itu dimaklumkan kepada Pasukan Bomba dan Penyelamat Batu Pahat kira-kira jam 9 pagi.

Berikutan itu, sepasukan tujuh anggota dengan sebuah jentera diketuai oleh Pegawai Bomba Kanan II, Ridwan Gembur dikejarkan ke lokasi kejadian.

Sebaik tiba di lokasi kejadian, anggota bomba mendapati seekor ular sawa sepanjang kira-kira 18 kaki sedang berusaha menelan seekor kambing di dalam sebuah kandang.

Ridwan berkata, pihak bomba terpaksa menunggu ular berkenaan memuntahkan semula kambing yang cuba ditelannya kerana penjerut yang digunakan tidak muat dengan mengusiknya menggunakan besi dan kayu.

“Kira-kira 25 minit kemudian, ular berkenaan memuntahkan semula kambing itu namun kambing itu sudah mati.

“Selepas berjaya ditangkap, ular seberat kira-kira 160 kilogram itu kemudiannya dihantar kepada pihak Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Batu Pahat,” katanya sambil menyatakan bomba mengambil masa hampir 45 minit untuk menyelesaikan operasi ini.

Berita Harian X