Rabu, 16 Oktober 2019 | 7:40pm
BEKAS Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB, Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi. - Foto Zulfadhli Zulkifli

Pelaksanaan perjanjian usaha sama 1MDB-PSI dibuat tergesa-gesa

KUALA LUMPUR: Pelaksanaan perjanjian usaha sama di antara 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan PetroSaudi International Ltd (PSI) dilakukan dengan tergesa-gesa atas kemahuan Datuk Seri Najib Razak.

Mengikut perancangan, perjanjian usaha sama itu akan disaksikan oleh Putera Mahkota Arab Saudi, Turki Abdullah Al-Saud.

Bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB, Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi, yang diasak peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah pada sesi pemeriksaan balas, berkata ia adalah yang Najib mahukan berdasarkan Artikel 117 Memorandum dan Artikel Pertubuhan 1MDB.

“Jika difikirkan pada ketika itu, perkara berkenaan adalah tertakluk kepada Artikel 117 dan yang membabitkan polisi dan kewangan nasional dan terletak di bawah skop pengawasan Najib selaku Perdana Menteri.

“Jadi, ia adalah jelas kepada saya bahawa ia apa yang Najib mahukan,” katanya.

Muhammad Shafee bagaimanapun tidak berpuas hati dengan jawapan itu dan mempersoalkan alasan yang diberikan kerana menurutnya, ia adalah berbeza dengan apa yang dinyatakan PSI melalui surat kepada Najib.

Muhammad Shafee menyatakan bahawa alasan yang dikemukakan PSI bagi pelaksanaan perjanjian usaha sama itu ialah bagi merebut kesempatan terhadap pelaburan di negara ini berikutan keadaan ekonomi semasa.

Saksi bagaimanapun menjawab ringkas; “tetapi surat itu dialamatkan kepada Najib.”

Muhammad Shafee: Tidak mungkin mereka beritahu macam ini kepada Najib dan perkara lain kepada 1MDB.

Shahrol Azral: Itu adalah alasannya dan ia tidak mempertikaikan alasan yang lain. Mungkin semua alasan di atas betul... Saya mempertikaikan kenyataan bahawa kami mempercepatkan perjanjian kerana suka-suka.

Muhammad Shafee: Saya tidak kata kamu mempercepatkan pelaksanaan perjanjian kerana suka-suka, tetapi kamu tidak mengambil pertimbangan harga pembelian aset.

Shahrol Azral: Saya memfokuskan kepada pelaksanaan perjanjian dan acuh tidak acuh mengenai harga aset.

Muhammad Shafee: Jadi kamu mahu laksanakan perjanjian tanpa mengetahui harga aset terlebih dulu?

Shahrol Azral: Saya percaya bahawa penilaian aset adalah di bawah tanggungjawab PSI.

Berita Harian X