Khamis, 17 Oktober 2019 | 2:35pm
Rokok dan minuman keras yang dirampas dari sebuah premis di Miri. - Ihsan JKDM
Rokok dan minuman keras yang dirampas dari sebuah premis di Miri. - Ihsan JKDM

Lagi kes rokok, arak seludup dirampas di Sarawak

MIRI: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Sarawak merampas sejumlah rokok dan minuman keras pelbagai jenama dalam serbuan di sebuah premis, di sini semalam.

Serbuan pada jam 11.20 pagi di Permy Technology Park, Tudan itu dilakukan sepasukan anggota Bahagian Penguatkuasaan JKDM Miri, bertindak atas maklumat risikan dan aduan awam.

Pengarah JKDM Sarawak, Datuk Sharifah Halimah Tuanku Taha, berkata hasil pemeriksaan lanjut membawa penemuan 48,000 batang rokok dan 523.5 liter minuman keras pelbagai jenama dalam premis berkenaan.

“Hasil siasatan mendapati kesemua rokok dan minuman keras disembunyikan dalam premis itu belum lulus kastam. Keseluruhannya, rokok dan minuman keras itu bernilai RM6,537, dengan jumlah cukai RM43.339,” katanya dalam satu kenyataan, di sini.

Katanya, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 135 Akta Kastam 1967 yang jika sabit kesalahan boleh didenda 10 kali ganda nilai barang ataupun RM100,000 atau penjara tidak kurang dari enam bulan dan tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya sekali.

Sharifah Halimah menegaskan pihaknya meningkatkan pemantauan dan tindakan bagi membanteras penjualan rokok dan minuman keras seludup di negeri ini.

“JKDM Sarawak memohon kerjasama orang ramai untuk menyalurkan maklumat berkaitan sebarang aktiviti penyeludupan barang larangan seperti rokok, minuman keras, mercun dan dadah.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubungan aktiviti penyeludupan itu boleh menghubungi Talian Bebas Tol Kastam 1-800-88-8855, laman sesawang aduan awam iaitu http://aduan.customs.gov.my atau mana-mana pejabat JKDM berhampiran.

“Kita memberi jaminan identiti setiap pemberi maklumat berhubung kegiatan itu adalah dirahsiakan,” katanya.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X