Khamis, 17 Oktober 2019 | 2:47pm
Kakitangan SFC menyelamatkan beruang matahari yang disimpan secara haram di sebuah premis di Sibu. - Ihsan SFC

20 hidupan liar diselamatkan SFC

SIBU: Lebih 20 hidupan liar dari pelbagai spesies terlindung berjaya diselamatkan Sarawak Forestry Corporation (SFC) dalam serbuan di sebuah premis, di sini pada 1 Oktober lalu.

Serbuan jam 12.15 tengah hari itu dilakukan hasil maklumat risikan dan aduan awam mengenai kegiatan penyimpanan hidupan liar secara haram di premis berkenaan.

Selain burung kenyalang, turut diselamatkan dalam serbuan itu ialah beruang matahari, burung kakak tua, binturong, landak, kura-kura, helang, merpati, buaya, burung tiong emas, tupai dan beruk.


Kakitangan SFC menyelamatkan burung helang yang disimpan secara haram di sebuah premis di Sibu. - Ihsan SFC

Ketua Pegawai Eksekutif SFC, Zolkipli Mohamad Aton, berkata disebabkan pemilik gagal menunjukkan sebarang lesen atau permit menyimpan haiwan itu, kesemua haiwan terbabit kini berada di bawah jagaan agensi berkenaan.

“Ia akan dihantar ke Pusat Hidupan Liar Matang untuk dipelihara sebelum dilepaskan ke habitat asal. Pemilik seharusnya mendapatkan pengesahan berkenaan haiwan terbabit kerana menyimpan spesies terlindung secara haram boleh dipenjarakan satu tahun dan denda RM10,000 jika sabit kesalahan.

“Malah, menyimpan spesies terlindung sepenuhnya pula boleh dikenakan denda maksimum RM50,000 dan penjara lima tahun,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan perdagangan hidupan liar diminta menghubungi SFC di talian 016-8565564/019-8859996 (Kuching), 019-8883561 (Sibu), 019-8223449/019-8332737 (Bintulu) dan 019-8290994/018-9799778 (Miri) untuk tindakan lanjut.

Berita Harian X