Khamis, 17 Oktober 2019 | 9:57pm

Puluhan kenderaan ditenggelami air di Sungai Gadut

SEREMBAN: Puluhan kenderaan ditenggelami air akibat banjir kilat di beberapa kawasan sekitar Sungai Gadut di sini petang tadi.

Hujan lebat yang bermula kira-kira jam 3 petang itu mengakibatkan laluan di Sungai Gadut, Jalan Seremban-Tampin, Kawasan Perindustrian Ringan Senawang dan Stesen Sungai Gadut dinaiki air kira-kira satu meter.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Sembilan, Ahmad Mukhlis Mokhtar, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan kejadian itu pada jam 6.24 petang.


KEADAAN kenderaan yang ditenggelami air akibat banjir kilat di Stesen Sungai Gadut. - Foto ihsan pembaca

Tiga jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Senawang, Seremban serta Rantau dikejarkan ke lokasi bagi melakukan kerja menyelamat.

“Hujan lebat sejak petang tadi mengakibatkan laluan di sekitar Sungai Gadut dinaiki air sehingga paras satu meter sekali gus menyebabkan banyak kenderaan terkandas.

“Bagaimanapun, kenderaan yang terperangkap sudah boleh melalui kawasan berkenaan apabila air mulai surut kira-kira jam 7 malam tadi,” katanya ketika dihubungi.

Anggota bomba masih berada di beberapa lokasi untuk memantau dan sebagai langkah berjaga-jaga.

Sementara itu, Ketua Komunikasi Korporat Keretapi Tanah Melayu Bhd (KTMB), Ahmad Asri Khalbi, berkata perkhidmatan tren bagi laluan itu tidak terjejas.

Bagaimanapun, katanya, keadaan banjir menyebabkan puluhan kenderaan penumpang yang diletakkan di tempat letak kereta di stesen itu ditenggelami air.

KEADAAN kenderaan yang ditenggelami air akibat banjir kilat di Stesen Sungai Gadut. - Foto ihsan pembaca
Berita Harian X