Jumaat, 18 Oktober 2019 | 12:34pm

SPRM dedah klip video penyeludupan di Padang Besar

PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini mendedahkan klip video berdurasi 11 minit berhubung kegiatan penyeludupan rentas sempadan yang berleluasa di kawasan Padang Besar, Perlis.

Klip video antara 2017 hingga Mei 2019 itu antara lain menunjukkan penyeludup memotong pagar sempadan dan membawa keluar barang bersubsidi, selain anggota keselamatan kelihatan tidak mengambil tindakan walaupun berlaku di depan mata.

Visual terbabit turut merakam kegiatan sekumpulan individu secara terbuka membawa keluar barangan bersubsidi dipercayai minyak masak dan tepung gandum, melalui pagar sempadan berhampiran Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Padang Besar.

Turut ditunjukkan kepada wakil media ialah klip memaparkan penyeludup menghampiri anggota keselamatan sebelum membawa barangan dipercayai untuk diseludup.

Video terbabit adalah hasil kompilasi daripada ribuan klip video dirakam sumber tidak dinamakan oleh SPRM berkaitan kegiatan penyeludupan di sepanjang kawasan sempadan Malaysia-Thailand di Padang Besar.

Ketua Cawangan Audio Video, Bahagian Forensik SPRM, Penguasa Kanan Badri Azni, ketika mengulas klip video itu berkata, hasil analisis visual, pihaknya mengesan modus operandi digunakan penyeludup untuk memulakan kegiatan berkenaan.

Beliau berkata, penyeludup dikesan berjumpa anggota keselamatan bagi mendapat kebenaran memulakan kegiatan penyeludupan, sebelum kenderaan untuk membawa barangan tiba lalu melintasi sempadan.

“Penyeludup juga menggunakan waktu pertukaran syif anggota keselamatan seawal jam 6 hingga 9 pagi, malah setiap kali anggota keselamatan cuba menghampiri penyeludup, mereka diberikan sesuatu disyaki rasuah.

“Mereka (penyeludup) tanpa takut dan gentar kepada undang-undang, malah dengan berani melalui laluan pemeriksaan dengan memikul barangan seludup, antaranya tepung, bawang dan barang bersubsidi lain seperti baja, diesel dan petrol yang lebih murah di Malaysia.

“Melalui video ini, kita juga dapat melihat bungkusan disyaki mengandungi daun ketum dibawa dengan mudah. Harga ketum sekilogram di Malaysia ialah RM18, manakala di Thailand RM100, jadi ketum memberikan keuntungan berlipat ganda kepada penyeludup,” katanya.

Melalui klip berkenaan, turut kelihatan sekumpulan penyeludup mengeluarkan karung guni dari sebuah kenderaan sebelum membawanya dengan cepat ke pagar sempadan yang dipotong dan diserahkan kepada anggota mereka yang sedia menunggu di negara jiran.

Pada satu ketika, kelihatan kenderaan polis melalui kawasan itu sebelum semua penyeludup berhenti seketika dan menyambung semula kegiatan selepas kenderaan terbabit berlalu.

Badri berkata, bagi mengelak kegiatan dikesan, anggota penyeludup ada ‘pasukan pemantau’ yang dilengkapi walkie talkie untuk berkomunikasi dengan rakan di Perlis mahupun Thailand, terutama memaklumkan jika mengesan kehadiran anggota keselamatan.

“Lazimnya, apabila selesai ‘trip’ penghantaran (ke negara jiran), kesan tapak kasut (penyeludup) akan dicuci atau kanvas direntang di sepanjang laluan lintasan bagi mengelak dikesan pihak berkuasa,” katanya.

Beliau juga mengulas kegiatan di Kompleks CIQ Padang Besar apabila kelihatan nombor pendaftaran asing bebas meletak kenderaan dan memunggah barangan disyaki bersubsidi seperti minyak masak dan gula.

“Penyeludup bebas menyeludup barang melalui pagar sempadan yang bocor, anggota penguat kuasa seolah-olah tidak tahu apa yang berlaku di hadapannya.

“Ada anggota keselamatan dalam pos kawalan kelihatan hanya bermain telefon tanpa mengambil tindakan atau membuat rondaan,” katanya.

Berita Harian X