X
Jumaat, 18 Oktober 2019 | 4:08pm
SAKSI pendakwaan, Bekas Ketua Pegawai Eksekutif Felda Investment Corporation (FIC), Mohd Zaid Abdul Jalil (kiri) hadir bagi kes tuduhan rasuah RM3 juta oleh Bekas Pengerusi Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA), Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad di Mahkamah Tinggi Jenayah 3, Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. - Foto NSTP/Mohamad Shahril Badri Saali
SAKSI pendakwaan, Bekas Ketua Pegawai Eksekutif Felda Investment Corporation (FIC), Mohd Zaid Abdul Jalil (kiri) hadir bagi kes tuduhan rasuah RM3 juta oleh Bekas Pengerusi Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA), Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad di Mahkamah Tinggi Jenayah 3, Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. - Foto NSTP/Mohamad Shahril Badri Saali

Saksi berang ditudung beri keterangan bercanggah

KUALA LUMPUR: Suasana prosiding pemeriksaan balas oleh peguam Datuk Salehuddin Saidin, mewakili bekas Pengerusi FELDA, Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad, pada hari kelapan perbicaraan kes pecah amanah dan rasuah RM3 juta menjadi ‘panas’ apabila timbul perbalahan antara saksi dan pihak pembelaan.

Prosiding di hadapan Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali menjadi agak tegang apabila saksi ke - 15, bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) FELDA Investment Corporation Sdn Bhd (FICSB), Mohd Zaid Abdul Jalil beberapa kali meninggikan suara ketika menjawab soalan Salehuddin.

Antara soalan menjadi punca Mohd Zaid berang apabila didakwa pihak pembelaan beliau sengaja menyalahkan individu lain, termasuk Lembaga Pengarah FICSB dan Setiausaha syarikat.

Salehuddin juga mendakwa saksi itu memberi keterangan dalam mahkamah bercanggah dengan kenyataan saksi.

Terdahulu, Mohd Zaid, 48, memberitahu Mahkamah Tinggi di sini, hari ini, hanya beliau seorang tidak bersetuju dengan pembelian Merdeka Palace Hotel & Suites (MPHS) di Kuching, Sarawak bernilai RM160 juta.

Beliau menegaskan, perkara itu tidak dibangkitkan olehnya dalam Mesyuarat Lembaga Pengarah FICSB ke-10 pada 29 April 2014.

“Hanya saya tidak bersetuju dengan cadangan pembelian hotel itu.

“Mesyuarat mengambil suara majoriti bagi persetujuan pembelian hotel.

“Pun begitu, Setiausaha Syarikat FICSB tidak mencatat semua perkara dibangkitkan dalam minit mesyuarat,” katanya.

Salehuddin: Adakah persetujuan kamu mengenai pembelian hotel itu penting?

Mohd Zaid: Ya, penting.

Salehudin: Jadi, kamu cuba nyatakan bahawa kamu adalah individu bertanggungjawab?

Mohd Zaid: Setuju.

Terdahulu, Mohd Zaid tidak bersetuju dengan dakwaan Salehuddin bahawa saksi itu terdesak menyalahkan individu lain bagi menutup kesalahannya kerana tidak menyuarakan bantahannya dalam minit mesyuarat itu.

Saksi itu juga turut menolak cadangan Salehuddin bahawa persetujuan daripadanya perlu diminitkan dalam mesyuarat kerana Mohd Zahid seorang saja tidak bersetuju dengan pembelian hotel itu.

“Memang ada persetujuan dalam mesyuarat Lembaga Pengarah FICSB tidak catat dalam minit.

“Perkara itu menjadi amalan dalam mesyuarat Lembaga Pengarah FICSB yang lain,” katanya.

Pada Rabu lalu, Mohd Zaid dalam penyataan saksinya berkata, beliau tidak pernah bersetuju dengan harga hotel itu bernilai RM160 juta ditawarkan Gegasan Abadi Properties Sdn Bhd (GAPSB), dan tidak terbabit dalam sebarang perbincangan dengan pihak GAPSB.

Pada 14 Disember 2018, Mohd Isa, 70, mengaku tidak bersalah atas satu pertuduhan pecah amanah dan sembilan pertuduhan menerima rasuah berjumlah lebih RM3 juta bagi meluluskan pembelian sebuah hotel di Kuching, Sarawak.

Beliau dituduh melakukan kesalahan pecah amanah di Tingkat 50, Menara FELDA, Platinum Park, Persiaran KLCC pada 29 April 2014 mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Mohd Isa juga dituduh melakukan semua kesalahan menerima rasuah di Tingkat 49, Menara FELDA, Platinum Park, Persiaran KLCC antara 21 Julai 2014 dan 11 Disember 2015.

Pertuduhan mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, boleh dihukum mengikut Seksyen 24(1) akta sama dan sabit kesalahan boleh dipenjara maksimum 20 tahun serta denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi.

Perbicaraan bersambung Isnin depan.

Berita Harian X