Jumaat, 18 Oktober 2019 | 4:09pm
BEKAS Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak ketika sidang media selepas hadir untuk memberi keterangan berhubung fitnah terhadap Ahli Parlimen Teluk Intan, Nga Kor Ming, di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman. - Foto NSTP/Eizairi Shamsudin

Najib beri keterangan 2 jam dakwaan fitnah Kor Ming

KUALA LUMPUR: Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak memberi keterangan hampir dua jam kepada polis berhubung dakwaan mengeluarkan kenyataan berbaur fitnah terhadap Pengerusi DAP Perak, Nga Kor Ming.

Najib tiba di Bukit Aman pada jam 11 pagi tadi, selepas Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed pada 9 Oktober lalu memaklumkan Ahli Parlimen Pekan itu mungkin dipanggil memberi keterangan berhubung kes berkenaan.

Pada 8 Oktober, Kor Ming yang juga Timbalan Speaker Dewan Rakyat menggesa polis menyiasat Facebook (FB) ‘Najib Razak’ susulan hantaran didakwa berbaur fitnah ke atasnya yang dimuat naik di akaun FB itu pada 30 September lalu.

Ia berkaitan isu penghinaan terhadap Sultan Selangor membabitkan tanda jalan yang dimuat naik dalam FB ‘Nga Kor Ming Super Fans’.

Pengerusi DAP Perak itu menganggap tindakan Najib sebagai cubaan merosakkan namanya serta menghasut rakyat membencinya serta DAP.

Ketika ditemui media selepas memberi keterangan, Najib berkata, tujuan beliau dipanggil adalah berhubung kenyataan menerusi FB miliknya yang dimuat naik pada 30 September berkaitan isu dikeluarkan dalam laman FB ‘Nga Kor Ming Super Fans’.

“Mereka (polis) menyoal saya mengenai kenyataan yang saya keluarkan dalam FB saya. Tujuan saya berbuat demikian dan apa jawapan balas saya terhadap sebarang komen maklum balas.

“Namun ada beberapa soalan tidak dapat saya dedahkan kerana khuatir menjejaskan siasatan. Setakat ini saya sudah berikan kerjasama sepenuhnya kepada polis dan serahkan kepada mereka untuk menilai dan membuat siasatan selanjutnya,” katanya.

Bekas Perdana Menteri yang selesai merakam kenyataan pada jam 12.40 tengah hari, hadir ke Bukit Aman bersama peguamnya.

Pada masa ini, Najib berkata, polis tidak bercadang memanggilnya semula, namun beliau bersedia berbuat demikian sekiranya diperlukan.

Sementara itu, Ketua Penolong Pengarah, Bahagian Pendakwaan dan Undang-Undang (D5), Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Mior Faridalathrash Wahid, memberitahu siasatan ke atas Najib dibuat mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan kerana memfitnah.

Berita Harian X