Ahad, 20 Oktober 2019 | 5:57pm

Mayat mekanik ditemui tangan, kaki terikat

KUANTAN: Mayat seorang lelaki ditemui terapung dengan keadaan tangan dan kakinya terikat di Tasik Paya Bungor, Gambang, di sini pagi tadi.

Mayat mangsa, S Raju, 39, yang bekerja sebagai mekanik ditemui orang awam kira-kira jam 10 pagi tadi dalam keadaan tertiarap dalam air.

Adik mangsa, S Rajan, 31, berkata kali terakhir dia bertemu dengan abang sulungnya daripada 15 beradik itu di Sri Jaya, Maran kira-kira jam 4 petang, Jumaat lalu.

“Saya dimaklumkan orang awam mengenai penemuan mayatnya sebelum bergegas ke sini. Polis minta saya buat pengecaman dan mendapati keadaan tangan dan kakinya terikat.

“Dia tinggal dalam kereta kerana bekerja sebagai mekanik bergerak dan berulang alik dari Maran ke Gambang. Jadi, sudah biasa tidak berjumpa dengan dia untuk tempoh dua hingga ke tiga hari,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.


Anggota polis mengangkat mayat lelaki dipercayai mangsa bunuh ditemui di kawasan pam air Tasik Paya Bungor, Gambang. - NSTP/Muhd Asyraf Sawal

Rajan berkata, dia mengecam mayat itu adalah abangnya berdasarkan tali sembahyang yang dipakai pada tangan dan ukiran tatu di lengan mangsa.

Mayat mangsa yang ditemui pekerja penyelenggara pam air di tasik itu dipercayai mati sejak dua hari lalu dan kereta Proton Wira serta barangan peribadi milik mangsa gagal ditemui.

Difahamkan, bedah siasat mangsa yang ditemui lengkap berpakaian itu akan dilakukan esok di Jabatan Forensik Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), di sini.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Mohamad Noor Yusof Ali ketika dihubungi mengesahkan mengenai penemuan mayat itu dan siasatan lanjut sedang dijalankan.

Pegawai forensik Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) memeriksa mayat seorang lelaki dipercayai mangsa bunuh ditemui di kawasan pam air Tasik Paya Bungor, Gambang. - NSTP/Muhd Asyraf Sawal
Berita Harian X