Isnin, 21 Oktober 2019 | 8:14pm
SAKSI, Pengarah Urusan Syarikat Gegasan Abadi, Ikhwan Zaidil (kiri) hadir bagi kes tuduhan rasuah RM3 juta oleh Bekas Pengerusi Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA), Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad di Mahkamah Tinggi Jenayah 3, Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. NSTP/Muhd Zaaba Zakeria
SAKSI, Pengarah Urusan Syarikat Gegasan Abadi, Ikhwan Zaidil (kiri) hadir bagi kes tuduhan rasuah RM3 juta oleh Bekas Pengerusi Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA), Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad di Mahkamah Tinggi Jenayah 3, Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. NSTP/Muhd Zaaba Zakeria

Mohd Isa minta suapan - saksi

KUALA LUMPUR: Saksi memberi keterangan bekas Pengerusi FELDA, Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad, meminta suapan daripada Gegasan Abadi Properties Sdn Bhd (GAPSB) berhubung pembelian Merdeka Palace Hotel & Suites (MPHS) di Kuching, Sarawak.

Saksi ke-16, yang juga Bekas Ahli Lembaga Pengarah GAPSB, Ikhwan Zaidel, memberitahu Mahkamah Tinggi di sini, hari ini bahawa suapan itu mahu digunakan sebagai dana politik oleh Mohd Isa.

Ikhwan, 59, memaklumkan perkara itu ketika membaca keterangan saksi pada hari kesembilan perbicaraan kes pecah amanah dan sembilan pertuduhan rasuah berjumlah RM3 juta dihadapi Mohd Isa bagi pembelian MPHS, di hadapan Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali.

Katanya, beliau dan seorang lagi Ahli Lembaga Pengarah GAPSB, Ibrahim Baki, terpaksa akur untuk memberi RM3 juta sebagai dana politik.

“Pemberian RM3 juta kepada Mohd Isa melalui Pegawai Khas kepada Mohd Isa iaitu Muhammad Zahid Md Arip, tidak dimaklumkan kepada Ahli Lembaga Pengarah GAPSB lain.

“Bayaran kepada Mohd Isa dibuat melalui Muhammad Zahid apabila FICSB mula membuat bayaran kepada GAPSB selepas pembelian MPHS,” katanya.

Saksi itu berkata, beliau dan Ibrahim risau mengenai pengaruh Mohd Isa jika permintaannya tidak dipenuhi kerana terdapat kemungkinan dia akan melengahkan pembayaran kepada GAPSB atau membatalkan urus niaga pembelian MPHS.

“Saya sering datang ke sini untuk menyertai perbincangan antara GAPSB dan FICSB untuk memuktamadkan penyediaan Perjanjian Jual Beli Hotel MPHS.

“Dalam tempoh itu, saya beberapa kali berjumpa dengan Muhammad Zahid dan dimaklumkan bahawa Mohd Isa memerlukan dana politik.

“Saya agak terkejut, namun hanya memberitahunya akan pertimbangkan perkara itu. Muhammad Zahid bagaimanapun tidak nyatakan jumlah dana yang diperlukan,” katanya.

Ikhwan berkata, beliau tidak ada pilihan dan akur dengan permintaan mereka atas penjualan MPHS kerana GAPSB perlu jual saham bagi melupuskan hutang.

“Menerusi pemahaman saya, Mohd Isa meminta suapan melalui Muhammad Zahid untuk kegunaannya sendiri.

“Permintaan wang untuk dana politik adalah alasan kerana jika benar Mohd Isa memerlukan dana, beliau boleh minta terus daripada saya dalam dua perjumpaan sebelum ini di pejabatnya di Menara FELDA,” katanya.

Jelas Ikhwan, pertemuan pertama membabitkan dirinya, Mohd Isa dan Ibrahim, beliau dan Ibrahim meminta Mohd Isa pertimbangkan tawaran kedua GAPSB dengan harga RM165 juta dan dia beri maklum balas positif untuk bantu kami.

“Namun, Mohd Isa memberitahu keputusan bergantung kepada mesyuarat Ahli Lembaga Pengarah FICSB.

“Dalam pertemuan kedua, FICSB bersetuju untuk membeli MPHS dan menghantar surat tawaran kepada GAPSB dengan harga pembelian RM160 juta,” katanya.

Dalam prosiding itu, Ikhwan memberitahu sejurus mengambil kira harga jualan MPHS berjumlah RM160 juta dan harga minimum dipersetujui Ahli Lembaga Pengarah GAPSB iaitu RM150 juta, beliau dan Ibrahim bersetuju memenuhi kehendak Mohd Isa.

Perbicaraan bersambung Khamis ini.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X