Selasa, 22 Oktober 2019 | 11:17am

Polis sedang buru pembunuh gajah Pygmy Borneo

[email protected]

KUALA LUMPUR: Bukit Aman meminta kerjasama orang ramai dalam usaha menjejaki suspek kes pembunuihan seekor seekor gajah Pygmy Borneo di sebuah ladang sawit di Beluran, Sabah, Sabtu lalu.

Timbalan Pengarah Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Bukit Aman, Datuk Mastor Mohd Ariff, berkata ketika ini, Ibu Pejabat Polis Kontingen (IPK) Sabah sedang berusaha mengenal pasti identiti suspek yang mendalangi perbuatan itu.

“Kita mohon kerjasama daripada orang awam untuk menyalurkan maklumat berhubung kejadian itu ke mana-mana balai polis berhampiran.

“Ini adalah kejadian kali kedua di Sabah yang mana gajah Pygmy Borneo dibunuh untuk gadingnya,” katanya pada sidang media di Bukit Aman, di sini hari ini.

Katanya, mereka yang mempunyai maklumat juga boleh terus menghubungi Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Beluran untuk membantu siasatan.

Sabtu lalu, gajah Pygmy Borneo dewasa ditemui mati dalam ladang sawit dengan lima kesan luka serta dua gadingnya hilang.

Gajah dewasa terbabit dipercayai sudah tiga hari mati sebelum bangkainya ditemui pekerja ladang sawit berkenaan.

Pada 25 September lalu, bangkai seekor gajah Pygmy Borneo ditemui di Sungai Udin, Dumpas, di Tawau dengan 70 kesan tembakan, sebelum enam suspek ditahan dipercayai terbabit dalam kes pembunuhan haiwan itu.

TIMBALAN Pengarah Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam KDNKA) Bukit Aman, Datuk Mastor Mohd Ariff pada sidang media di Kuala Lumpur, hari ini. - Foto BERNAMA
Berita Harian X