Selasa, 22 Oktober 2019 | 1:51pm
Pelbagai rokok seludup dirampas selepas serbuan dijalankan PGA di Pasar Tamu Gum-Gum, Batu 16, Sandakan. - Ihsan PGA

PGA serbu lubuk rokok seludup

BELURAN: Sekumpulan penjual rokok seludup bertempiaran lari selepas diserbu Pasukan Gerakan Am (PGA) di Pusat Tamu Gum-Gum, Batu 16 Sandakan, di sini semalam.

Dalam serbuan kira-kira jam 3 petang itu, 224 karton rokok seludup pelbagai jenis turut dirampas.

Pegawai Memerintah PGA Batalion 20 Beluran, Asisten Komisioner Mohd Nasaruddin M Nasir, berkata serbuan susulan aduan diterima daripada orang ramai mengenai kegiatan penjualan rokok seludup di kawasan terbabit.

Katanya, bertindak atas aduan itu, pihaknya menjalankan operasi pemantaua di kawasan berkenaan sebelum melakukan serbuan.

“Sebaik tiba dilokasi, beberapa individu dipercayai penjual rokok seludup bertempiaran lari sejurus menyedari kehadiran pihak berkuasa.

“Hasil pemeriksaan lanjut kemudiannya berjaya menemui lapan plastik hitam berisi pelbagai jenis rokok seludup dan sebuah bakul plastik berisi wang tunai disyaki hasil jualan mereka yang ditinggalkan,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Mohd Nasaruddin berkata, hasil siasatan mendapati kebanyakan rokok berkenaan diseludup dari negara jiran.

Katanya, semua rampasan kemudiannya dibawa ke Kem Batalion 20 Beluran untuk tindakan lanjut.

“Anggaran nilai rokok yang berjaya dirampas kali berjumlah RM39,017 berdasarkan harga pasaran semasa.

Kes disiasat mengikut Seksyen 135 (1) (D) Akta Kastam 1967,” katanya.

Berita Harian X