Selasa, 22 Oktober 2019 | 2:16pm

PGA rampas arak, rokok seludup bernilai lebih RM8.4 juta

SIMPANG RENGGAM: Pasukan Gerakan Am (PGA) merampas rokok dan arak seludup bernilai lebih RM8.4 juta dalam dua serbuan berasingan di Senai dan Pelangi Indah di Johor Bahru kelmarin.

Timbalan Pengarah Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Bukit Aman, Datuk Zainal Abidin Kasim, berkata kes itu adalah nilai rampasan terbesar direkodkan pihaknya setakat ini.

Katanya, serbuan pertama dilakukan pada jam 12.05 malam di kawasan lot kilang di Jalan Kempas Lama, membabitkan penahanan dua lelaki warga tempatan berusia lingkungan 40-an.

“Hasil pemeriksaan lanjut membawa kepada rampasan 19,250 karton rokok jenama U2 dan John, selain 2,052 botol arak jenis 01 Vin Moulin Semi Sweet bersama sebuah lori enam tan; sebuah lori tiga tan; sebuah kereta PROTON Exora dan sebuah kereta Volkswagen Scirocco dipercayai digunakan untuk kegiatan penyeludupan.

“Ia disusuli serbuan kedua di sebuah rumah di Taman Bestari Indah di Ulu Tiram, kira-kira jam 10.30 pagi keesokannya yang membawa kepada penahanan dua lelaki tempatan berusia lingkungan 30-an,” katanya pada sidang media di Wisma Perwira Batalion 5 PGA, di sini hari ini.

Zainal Abidin berkata, hasil serbuan itu juga, 16,500 karton rokok bersama 2,028 botol arak dirampas, selain dua lori dua tan dan sebuah van Nissan Vanette.

“Empat suspek ini dipercayai menjadikan kedua-dua lokasi serbuan sebagai gudang atau stor penyimpanan rokok seludup di sekitar Johor dan mereka juga disyaki bertindak sebagai ejen bagi sindiket penyeludupan.

“Semua suspek kini ditahan reman selama 14 hari bermula semalam dan kes disiasat mengikut Seksyen 135 Akta Kastam 1967.

“Tangkapan pertama dirujuk ke Ibu Pejabat Polis Daerah Kulaijaya manakala tangkapan kedua di Ibu Pejabat Polis Daerah Johor Bahru Selatan untuk tindakan selanjutnya,” katanya.

Zainal Abidin (kanan) menunjukkan sebahagian daripada rokok dan arak yang dirampas ketika sidang media di Batalion 5 Pasukan Gerakkan Am (PGA) di Simpang Renggam. - NSTP/Adnan Ibrahim
Berita Harian X