Selasa, 22 Oktober 2019 | 2:48pm
KETUA Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner S Shanmugamoorthy Chinniah (dua dari kiri) menunjukkan barang kes yang dirampas pada sidang media di Kuala Lumpur, hari ini. - Foto BERNAMA

Pengedar ditahan ketika sedang tunggu pelanggan

KUALA LUMPUR: Seorang pengedar dadah ditahan ketika sedang menunggu pelanggan di lobi sebuah hotel dekat Jalan Kepong, di sini, Ahad lalu.

Ketika tangkapan dilakukan terhadap suspek berusia 45 tahun itu, polis turut merampas dadah pelbagai jenis bernilai RM93,000.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner S Shanmugamoorthy Chinniah, berkata suspek ditahan pada jam 10 malam oleh sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah (BSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul selepas menerima maklumat awam.

“Pemeriksaan terhadapnya menemui dadah jenis methaphetamine seberat 800 gram, ketamin 600 gram, serbuk MDMA 85 gram dan 80 biji pil eramin 5,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Shanmugamoorthy berkata, susulan itu, suspek membawa polis ke sebuah bilik hotel di Jalan Pudu dan sebuah rumah di Segambut.

“Pemeriksaan di kedua-dua premis berkenaan menemui dadah jenis ketamin seberat 61.30 gram, methaphetamin seberat 5.43 gram dan serbuk MDMA seberat 123.37 gram.

“Hasil saringan ujian air kencing dilakukan terhadap suspek mendapati suspek positif dadah jenis methephatamine,” katanya.

Polis kini sedang menyiasat sama ada suspek mempunyai rangkaian atau bergerak secara sendirian.

“Suspek kini direman selama tujuh hari bermula semalam bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1959,” katanya.

Berita Harian X