Rabu, 23 Oktober 2019 | 5:32pm
Penentuan sama ada Najib diarahkan membela diri atau bebas daripada tujuh tuduhan pecah amanah, menyalahgunakan kedudukan dan pengubahan wang haram akan diketahui pada 11 November ini. - NSTP/Zunnur Al Shafiq

Nasib Najib sama ada bela diri atau bebas, 11 November ini

KUALA LUMPUR: Penentuan sama ada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, diarahkan membela diri atau bebas daripada tujuh tuduhan pecah amanah, menyalahgunakan kedudukan dan pengubahan wang haram membabitkan dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd, akan diketahui pada 11 November ini.

Hakim Mahkamah Tinggi, Mohd Nazlan Mohd Ghazali mengesahkan sekali lagi tarikh itu yang ditetapkan beliau sebelum ini selepas mendengar hujahan di akhir kes pendakwaan dikemukakan pihak pendakwaan dan peguam bela Najib.

Mohd Nazlan pada masa sama mengucapkan terima kasih kepada kedua-dua pihak di atas hujahan komprehensif yang dikemukakan di mahkamah.

Pada 27 Ogos lalu, pendakwaan diketuai Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas, menutup kes pendakwaan selepas selesai mendengar keterangan 57 saksi.

Saksi terakhir yang memberi keterangan ialah Penolong Kanan Pesuruhjaya Bahagian Operasi Khas (BOK) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Rosli Husain.

Pendakwaan turut menawarkan 66 saksi kepada pihak pembelaan jika mahkamah memutuskan tertuduh diarah membela diri.

Sekiranya Najib diperintah membela diri, mahkamah menetapkan tarikh perbicaraan pada peringkat pembelaan selama 10 hari bermula 3 dan 4 Disember, sebelum bersambung pada 9 hingga 12 Disember dan diteruskan pada 16 hingga 19 Disember ini.

Terdahulu, peguam bela, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah dalam hujahannya menegaskan, Najib tiada penguasaan ke atas aset SRC dan tidak boleh menyeleweng harta syarikat seperti didakwa.

Menurut peguam itu, anak guamnya hanya Penasihat Emeritus SRC dan tiada kuasa untuk melupuskan aset milik syarikat.

Hujahan Muhammad Shafee itu bagi membalas hujahan pendakwaan bahawa Najib adalah Pengarah Bayangan SRC.

Beliau seterusnya menyatakan tiada sebarang kaitan di antara menjadi pengarah bayangan dan menguasai harta syarikat.

Turut ditegaskan, Najib tiada sebarang niat tidak jujur kerana bekas perdana menteri itu tiada pengetahuan wang terbabit adalah daripada sumber haram.

“Ini kes di mana mahkamah tidak sepatutnya mengarahkan tertuduh dipanggil membela diri semata-mata untuk memuaskan rasa ingin tahu (pendakwaan) mengenai apa yang akan dikatakan anak guam saya,” katanya.

Sehubungan itu, Muhammad Shafee memohon mahkamah melepas dan membebaskan Najib daripada tiga tuduhan pecah amanah, satu tuduhan menyalahgunakan kedudukan dan tiga tuduhan pengubahan wang haram yang dikenakan ke atasnya.

Berita Harian X