Rabu, 23 Oktober 2019 | 5:50pm
Seorang kanak-kanak lelaki berusia tujuh tahun putus jari kelengkeng kiri selepas tersangkut pada jeriji besi di rumahnya. - Ihsan keluarga
Seorang kanak-kanak lelaki berusia tujuh tahun putus jari kelengkeng kiri selepas tersangkut pada jeriji besi di rumahnya. - Ihsan keluarga

Putus jari tersangkut jeriji besi

GUA MUSANG: Seorang kanak-kanak lelaki berusia tujuh tahun putus jari kelengkeng kiri selepas tersangkut pada jeriji besi di rumahnya di Rancangan Kemajuan Tanah (RKT) Kesedar Paloh 3, dekat sini, Jumaat lalu.

Dalam kejadian jam 1 tengah hari itu, mangsa Muhamad Najwan Faiz Mohamad Nasron dikejarkan ke Klinik Kesihatan Chiku 3 sebelum dirujuk ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian untuk rawatan lanjut.

Bagaimanapun, pembedahan menyambung semula jari kanak-kanak itu gagal.

Kakak mangsa, Noraznira, 28, berkata sebelum kejadian, adiknya memanjat pintu jeriji besi di hadapan rumahnya.

Bagaimanapun, katanya, ketika cuba turun semula, jarinya tersangkut pada jeriji besi itu.

“Ketika itu saya terdengar suara adik menangis dan menjerit kesakitan dalam keadaan jari berlumuran darah.

“Kami menemui jari yang terputus di jeriji besi dan terus membawa adik ke klinik berhampiran sebelum dirujuk ke HUSM,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau berkata, pada hari sama, pembedahan menyambung jari dijalankan, namun gagal.

“Adik dalam keadaan stabil dan masih ditempatkan di HUSM,” katanya.

Berita Harian X