Rabu, 23 Oktober 2019 | 6:00pm
Antara barang bukti kes rasuah dan pengubahan wang haram membabitkan dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd yang dihadapi Najib. - NSTP/Zunnur Al Shafiq

Pecah amanah, pengubahan haram dua benda berbeza - Sithambaram

KUALA LUMPUR: Tuduhan pecah amanah dan pengubahan wang haram membabitkan dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd dihadapi Datuk Seri Najib Razak memerlukan inti pati dan elemen berbeza untuk dibuktikan.

Kerugian atau perolehan didapati secara salah bukan inti pati yang patut dibuktikan dalam kesalahan pecah amanah, manakala isu berhubung penerimaan wang seperti dibangkitkan pihak pembelaan juga tidak perlu dibuktikan oleh pendakwaan dalam kes terbabit.

Timbalan Pendakwa Raya, Datuk V Sithambaram dalam hujahannya menyatakan penerimaan wang (dalam akaun tertuduh) sebaliknya adalah inti pati kes pengubahan wang haram.

“Sama ada ia wang RM42 juta yang sama (membabitkan kes pecah amanah) bukan menjadi soal dan pertimbangan kerana membabitkan inti pati berbeza.

“Perbuatan tidak jujur yang dilakukan Najib selaku tertuduh adalah bukti dalam kes penyelewengan dana SRC,” katanya.

Sithambaram berkata demikian dalam hujahannya berkaitan isu pecah amanah dan kes pengubahan wang haram dihadapi Najib melalui Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUA).

Hujahan dikemukakan pendakwaan itu dibuat pada prosiding hujahan di akhir kes pendakwaan kes SRC International.

Beliau menegaskan, tiga kesalahan pecah amanah yang dikenakan terhadap Najib menjadi lengkap selepas pendakwaan membuktikan wujud perbuatan tidak jujur daripada tertuduh.

“Pendakwaan tidak mahu menonjolkan tuduhan yang kelihatan sangat teruk.

“Sama ada ia membabitkan keuntungan mahu pun kerugian, ia bukan menjadi kandungan utama dalam pertuduhan pecah amanah.

“Sama seperti dokumen antaranya membabitkan penerimaan wang yang dikemukakan adalah bahan bukti untuk kes pengubahan wang haram,” katanya.

Sithambaram berkata, persoalan penerimaan wang langsung tidak timbul kerana ia tidak penting, malah tiada sesiapa pun yang mengalami kerugian dalam kes berkenaan.

“Pecah amanah bukan satu kesalahan yang memerlukan kita tahu berapa banyak kerugian disebabkan perbuatan (kesalahan) itu.

“Perbuatan itu sendiri sudah menjadi kesalahan yang mana selepas timbulnya isu penyelewengan dana,” katanya.

Berita Harian X