Khamis, 24 Oktober 2019 | 1:17pm

Teruskan perjanjian sebab 'bos' suruh laksanakan - Shahrol Azral

KUALA LUMPUR: Bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi, tidak memaklumkan kepada Ahli Lembaga Pengarah 1MDB berkaitan hutang AS$700 juta yang mula efektif selepas perjanjian usaha sama ditandatangani dengan syarikat PetroSaudi International Ltd (PSI) pada 28 September 2009.

Keputusan itu dibuat berikutan beliau mendapat tekanan untuk menandatangani perjanjian itu selepas diberitahu oleh ahli perniagaan yang dikehendaki pihak berkuasa, Low Taek Jho atau Jho Low bahawa ‘bos mahu perkara itu dilaksanakan’.

“Jadi saya buat keputusan untuk teruskan apa yang saya anggap arahan daripada Datuk Seri Najib Razak dan saya percaya ia akan berjaya kerana Jho Low dan Casey Tang ( Pengarah Eksekutif 1MDB) bekerja mengikut arahan Najib.

“Persepsi saya ketika itu ia adalah bukan sesuatu yang biasa ... Saya tanya Casey okey ke nak tandatangan dan dia jawab ‘okey’, saya percaya nasihat dia,” katanya.

Saksi pendakwaan kesembilan itu yang menjawab soalan peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah pada sesi pemeriksaan balas, menegaskan disebabkan jaminan oleh Jho Low dan Casey, beliau merasakan tidak perlu untuk memaklumkan kepada Lembaga Pengarah 1MDB.

Terdahulu, Shahrol Azral menjelaskan Ahli Lembaga Pengarah tidak mempersoalkan hutang AS$700 juta yang berbangkit daripada perjanjian usaha sama itu.

Malahan, Shahrol Azral berkata, sebagai CEO ketika itu, beliau langsung tidak bertanyakan mengenai perjanjian pinjaman ketika dalam mesyuarat Ahli Lembaga Pengarah kerana mengikut apa yang diarahkan Jho Low.

“Tiada sebarang rundingan dibuat bersama Ahli Lembaga Pengarah berkenaan pinjaman AS$700 juta,” katanya.

Jelasnya lagi, Ahli Lembaga Pengarah juga tidak pernah melihat kertas pemilikan mengenai aset yang kononnya dimiliki PetroSaudi International Ltd.

“Najib ok dengan semua (berlaku) itu. Sebarang tindakan Jho Low dan Casey adalah berlandaskan persetujuan Najib.

“Disebabkan itu saya hanya mengikuti mereka tanpa memikirkan apa-apa,” katanya.

Bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) 1Malaysia Development Berhad (1MDB) Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi hadir pada Perbicaraan Kes Rasuah dan Pengubahan Wang Haram membabitkan dana 1MDB Datuk Seri Najib Razak di Mahkamah Tinggi, Jalan Duta. - Foto Aswadi Alias
Bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) 1Malaysia Development Berhad (1MDB) Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi hadir pada Perbicaraan Kes Rasuah dan Pengubahan Wang Haram membabitkan dana 1MDB Datuk Seri Najib Razak di Mahkamah Tinggi, Jalan Duta. - Foto Aswadi Alias

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X