Khamis, 24 Oktober 2019 | 4:19pm

Polis Kuala Lumpur gempur empat premis hiburan

KUALA LUMPUR: Polis menahan 33 wanita dan tiga pondan warga asing disyaki bekerja sebagai gadis pelayan pelanggan (GRO) dalam serbuan serentak di empat premis hiburan di Kepong, di sini, semalam.

Serbuan dilakukan Bahagian Antimaksiat, Perjudian dan Kongsi Gelap (D7) dan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Kuala Lumpur menerusi Op Noda.

Operasi diketuai Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Rohan Shah Ahmad bersama 13 pegawai dan 55 anggota itu bermula kira-kira jam 12.15 tengah malam.

Daripada empat premis yang diserbu, hanya satu premis mempunyai lesen untuk beroperasi, manakala dua lagi tidak memiliki lesen dan satu premis menggunakan lesen tamat tempoh.


Antara GRO warga asing yang ditahan Jabatan Siasatan Jenayah (Risikan/Operasi), Kuala Lumpur ketika mengadakan Op Noda di empat pusat hiburan dan pub di sekitar Kepong. - Foto Mohd Yusni Ariffin

Pecahan negara mereka yang ditahan adalah 16 warga Vietnam, 15 dari Thailand dan lima warga Laos.

Menurut sumber, pekerja keempat-empat premis terbabit seramai 16 orang termasuk seorang wanita, lima lelaki warga Thailand dan masing-masing tiga dari Pakistan dan Myanmar turut ditahan.

Polis turut memeriksa seramai kira-kira 50 pengunjung keempat-empat premis hiburan berkenaan bagi mengesan sebarang unsur jenayah.

Kesemua tangkapan dibawa ke balai polis berhampiran untuk tindakan selanjutnya dan disiasat mengikut Seksyen 4(1) Akta Hiburan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Seksyen 55B Akta Imigresen, Seksyen 39b Peraturan-peraturan Imigresen dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen.

Operasi adalah antara komitmen Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengekang kegiatan maksiat dan jenayah, termasuk pelacuran serta penyalahgunaan dadah di premis hiburan di seluruh negara.

Antara GRO warga asing yang ditahan Jabatan Siasatan Jenayah (Risikan/Operasi), Kuala Lumpur ketika mengadakan Op Noda di empat pusat hiburan dan pub di sekitar Kepong. - Foto Mohd Yusni Ariffin
Berita Harian X