Jumaat, 25 Oktober 2019 | 1:42am
Sebuah jejantas di hadapan SMK Jalan Kebun yang dikatakan baru siap dibina dan belum digunakan, roboh dipercayai akibat dilanggar sebuah lori, malam tadi. - Ihsan pembaca
Sebuah jejantas di hadapan SMK Jalan Kebun yang dikatakan baru siap dibina dan belum digunakan, roboh dipercayai akibat dilanggar sebuah lori, malam tadi. - Ihsan pembaca

Jejantas roboh dipercayai akibat dilanggar lori, pemandu tersepit

KLANG: Sebuah jejantas di hadapan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jalan Kebun yang dikatakan baru siap dibina dan belum digunakan, roboh dipercayai akibat dilanggar sebuah lori, malam tadi.

Difahamkan, kejadian berlaku kira-kira jam 10 malam menyebabkan pemandu lori itu tersepit di bawah runtuhan berkenaan.

Ketua Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Zon Klang, Samsol Maarif Saibani, ketika dihubungi mengesahkan kejadian terbabit.

Ketika ini, beliau berkata, anggota bomba sedang berusaha mengeluarkan pemandu lori terbabit dengan menggunakan kren.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Kandis, Mohd Zawawi Ahmad Mughni, turut memuat naik gambar kejadian dalam akaun Instagram beliau.

Menurut Mohd Zawawi, difahamkan pemandu lori itu baru selesai menuang bahan untuk menaik taraf jalan di situ dan dikatakan terlupa menurunkan bahagian belakang kenderaan terbabit sebelum terlanggar binaan berkenaan.

“Ketika kejadian, saya dalam perjalanan balik dari Majlis Sambutan Deepavali MPK (Majlis Perbandaran Klang) dan terus bergegas ke lokasi kejadian,” katanya dalam akaun Instagram beliau.

Berita Harian X