Jumaat, 25 Oktober 2019 | 10:04am

Dadah RM50,000 dirampas di Miri

MIRI: Polis menahan seorang lelaki tempatan dan merampas dadah jenis methamphetamine bernilai kira-kira RM50,740 dalam satu serbuan di pekan Batu Niah, di sini, malam tadi.

Ketua Polis Daerah Miri, Asisten Komisioner Lim Meng Seah, berkata suspek berusia 21 tahun itu ditahan dalam serbuan jam 10.20 malam, ketika berada dalam kereta Proton Pesona di belakang sebuah kedai di pekan itu dan ketika ditahan, suspek membuang satu plastik hitam mengandungi dadah ke tepi jalan raya.

“Pemeriksaan lanjut mendapati di dalam plastik hitam tersebut mengandungi lima paket plastik lutsinar mengandungi dadah jenis methamphetamine dengan anggaran berat 253.7gram,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Katanya, suspek yang ditahan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 itu dikesan bergiat aktif dalam pengedaran dadah selama setahun dengan kawasan pengedaran di sekitar pekan Batu Niah, Simpang Ngu dan kawasan bandaraya Miri.

Katanya, suspek yang bertindak sebagai ‘runner’ sahaja serta mendapat upah bulanan mengedar dadah, mendapat bekalan dadah tersebut daripada pembekal di bandaraya Miri dan ujian saringan awal air kencing suspek didapati negatif dadah. – BERNAMA

Berita Harian X